Khabar angin Azmin keluar parti tidak lemahkan PKR - Utusan Malaysia

Khabar angin Azmin keluar parti tidak lemahkan PKR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Julai – Khabar angin bertiup kencang yang mengatakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan meninggalkan PKR tidak akan sesekali melemahkan parti itu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, setiap masalah yang melanda dianggap memberi kesan dan melemahkan parti sekiranya terdapat beberapa petunjuk yang dapat membuktikannya.

Tambahnya, petunjuk yang jelas ketika ini adalah permohonan untuk menjadi ahli PKR tidak menunjukkan penurunan dan kegiatan parti di setiap peringkat masih terus berjalan seperti biasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Khabar angin keluar, perbalahan sana sini, parti lemah, mesti ada petunjuknya, yang pertama, permohonan untuk menjadi ahli parti mesti turun (contohnya) daripada 10,000 tinggal 500 sahaja yang memohon, itu indikator jelas ia fakta, apatah itu berlaku? tidak.

“Kegiatan parti di semua peringkat terhenti atau tidak? jawapannya tidak, saya terus memenuhi jadual saya dan kepemimpinan lain juga macam biasa, kegiatan terus berjalan dan tidak terhenti, khabar angin kata ia melemahkan parti, ia tidak berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis perasmian pasar raya AJ Best di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini hari ini.

Saifuddin Nasution mengulas khabar angin yang bertiup kencang bahawa Mohamed Azmin yang juga merupakan Timbalan Presiden PKR akan meninggalkan parti itu dan menyertai parti Gerakan dalam masa terdekat.

Semalam, Utusan Online memetik sumber mengatakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu dijangka meninggalkan PKR untuk menyertai Gerakan disebabkan pergeseran beliau dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan tersebarnya video intim yang dikatakan melibatkan dirinya.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, beliau tidak menafikan terdapatnya permasalahan yang sedang melanda PKR namun menolak dakwaan bahawa parti itu berada dalam keadaan lemah.

“Adakah saya ni dalam keadaan penafian? tidak, saya akui ada masalah tapi adakah sampai tahap parti lemah? terhenti terus? jawapannya tidak,” katanya. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini