BUTTERWORTH 26 Julai – Pendakwaan ke atas kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang memasuki hari ketiga hari ini menyaksikan enam lagi pegawai dan penguatkuasa agensi itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini atas 14 pertuduhan rasuah membabitkan nilai suapan keseluruhannya berjumlah kira-kira RM10,900.
Dalam prosiding kira-kira dua jam itu, kesemua mereka yang merupakan pegawai dan penguatkuasa Gred 19 hingga 29 itu mengaku tidak bersalah atas dakwaan menerima rasuah berkenaan daripada seorang pengarah syarikat pengangkutan bagi melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di negeri ini.
Kesemua mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik sahaja kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Nizam Zakaria.
Kesemua tertuduh juga turut berdepan dengan 14 pertuduhan pilihan iaitu memperoleh untuk mereka suatu benda berharga tanpa suatu balasan daripada pengarah syarikat sama bagi tujuan dan tindakan sama (melindungi pemandu lori).
Tertuduh terdiri daripada Aminorrofee Rais, 44 (lima pertuduhan); Muhammad Faisal Salleh,33 (dua pertuduhan); Abu Ubaidah Yacob, 51 (dua pertuduhan); Azrul Faiz Md Saad,36 (satu pertuduhan); Mohd. Sarwani Mohd. Nor, 34 (satu pertuduhan) dan Mohd. Yusri Jusoh, 48 (satu pertuduhan).
Mengikut pertuduhan utama, kesemua mereka didakwa secara rasuah menerima suapan bagi diri mereka daripada Pengarah Syarikat Sam Lian Transport &Tyre Sdn Bhd dan TSR Transport Sdn. Bhd., Ooi Cheng Keat sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori-lori milik syarikat terbabit (Sam Lian dan Tyre Sdn. Bhd.) yang mungkin melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di pelbagai buah bank di Bukit Mertajam di antara 2016 hingga 2018.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama.
Kesemua mereka turut berdepan dengan pertuduhan pilihan iaitu memperoleh untuk mereka suatu benda berharga tanpa suatu balasan daripada pengarah syarikat sama
bagi tujuan dan tindakan sama (melindungi pemandu lori).
Untuk pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azlan Basri dan S. Selvaranjini menawarkan jaminan masing-masing antara RM10,000 hingga RM15,000 bagi semua pertuduhan yang dihadapi tertuduh.
Nizam kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin antara RM8,000 hingga RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 24 September depan untuk sebutan semula kes dan kesemua tertuduh juga diminta untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azlan Basri dan S. Selvaranjini.
Lima tertuduh diwakili peguam Mohd. Hakim Hamran manakala seorang tertuduh iaitu Abu Ubaidah Yacob pula diwakili M.Hafiz Zainol Abidin.
Dalam pendakwaan selama tiga hari bermula Rabu, 18 pegawai dan penguatkuasa JPJ telah dihadapkan ke mahkamah atas 117 pertuduhan rasuah membabitkan jumlah suapan RM104,550 manakala pada 28 Mei lalu, sembilan pegawai dan penguatkuasa JPJ juga telah dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan sama.
Pendakwaan itu susulan penahanan lebih 70 pegawai dan anggota JPJ negeri ini pada Januari lalu dan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, selepas disyaki terbabit dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya. – UTUSAN ONLINE











