KUALA LUMPUR 26 Julai- Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam hadir di Ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini bagi memberi keterangan berhubung laporan yang dibuat Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador terhadap dirinya.
Lokman tiba kira-kira pukul 10.15 pagi dengan menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna hitam serta membawa bagasi.
Menurutnya, beliau dipanggil oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman semalam untuk dirakam percakapan berhubung laporan polis yang dibuat Hamid terhadap dirinya kerana mendakwa Ketua Polis Negara menipu.
“Hari ini saya hadir untuk memberi keterangan, kemungkinan ditahan ada. Bagaimanapun tengoklah berapa lama proses ini berjalan,” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Dalam pada itu, Lokman turut mengulangi pendiriannya yang mendakwa Abdul Hamid sebagai penipu kerana melindungi penjenayah video seks luar tabii yang melibatkan Ketua Angkatan Muda (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.
Dakwanya, Abdul Hamid seolah-olah menyembunyikan keputusan video tersebut oleh pihak forensik Cyber Security yang mengesahkan rakaman itu tulen.
“Jadi saya tegaskan beliau (Abdul Hamid) memang menipu dan digesa untuk segera melepaskan jawatan sebagai Ketua Polis Negara,” katanya.
Kelmarin, Abdul Hamid mengesahkan pihaknya telah membuat laporan polis terhadap Lokman yang melabelkan beliau sebagai penipu.
Tegasnya, semua pihak boleh mengeluarkan apa sahaja kenyataan berhubung isu berkenaan tetapi beliau tidak dapat menerima tuduhan mengatakan beliau sebagai Ketua Polis Negara menipu dalam siasatan kes tersebut.- UTUSAN ONLINE











