KUALA LUMPUR 25 Julai – Alliance Bank Malaysia Bhd. memperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk pendigitalan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2020.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Joel Kornreich berkata, peningkatan tawaran produk dan perkhidmatan digital buat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutamanya seiring dengan prospek ekonomi mencabar.
Katanya, Alliance Bank optimis dengan segmen PKS dan merekodkan 11 peratus pertumbuhan pinjaman bagi segmen itu pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2019.
Jelas beliau, pihak bank juga sedang berbincang dengan rakan kerjasama bukan bank yang berpotensi untuk memperluaskan pengedaran produk menerusi ruang perbankan maya.
“Ini tidak bermakna kami memohon lesen perbankan digital. Tetapi, kami tidak menolak kemungkinan untuk memohon pada masa akan datang. Yang pasti, kami agresif memperbanyakkan pengedaran dan sedang mencari perkongsian ekosistem.
“Kemunculan perbankan maya akan menambah lebih banyak persaingan untuk landskap yang sudah berdaya saing,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Alliance Bank di sini hari ini.
Sebelum ini, firma teknologi, Grab dan empat lagi bank, CIMB Group Holdings Bhd., Affin Bank Bhd., Hong Leong Bank Bhd. dan AMMB Holdings Bhd. dilaporkan memberi isyarat berminat untuk mendapatkan lesen perbankan digital atau maya di Malaysia.
Alliance Bank pada tahun kewangan 2019 memperkenalkan Alliance Origination System, proses aliran kerja yang memperkemaskan dan mengautomasikan proses kredit, mengurangkan 60 peratus daripada masa pemprosesan normal.
Menurut Kornreich, tempoh masa yang pantas menyumbang kepada pertumbuhan sebanyak 39 peratus dalam pengeluaran pinjaman PKS.
“Alliance Bank juga melancarkan pendigitalan akaun semasa, akaun simpanan (CASA) individu membolehkan pelanggan untuk melengkapkan pembukaan akaun mereka dalam masa 15 minit berbanding 45 minit sebelum ini.
“Bagi meningkatkan lagi pengalaman perbankan pelanggan, bank telah melancarkan aplikasi perbankan mudah alih allianceonline Mobile yang menyaksikan 52,000 pendaftaran dalam tempoh setahun,” katanya.











