KUALA LUMPUR 25 Julai – Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia membidas komen-komen yang dibuat oleh Lembaga Perwakilan Penerbangan (BAR) sebagai tidak perlu dan hanya untuk kepentingan diri sendiri sahaja dalam perselisihan antaranya dengan pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB).
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd., Riad Asmat berkata, kedudukan BAR tidak memungkinkannya memberi pendapat yang wajar dalam isu berkenaan memandangkan syarikat penerbangan yang menganggotai BAR tidak beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) dan oleh itu tidak terjejas dengan keputusan mahkamah.
“Komen-komen oleh BAR adalah tidak relevan dan tidak bermanfaat. BAR tidak berupaya memberikan komen yang berimpak mahupun positif kerana mereka tidak mewakili syarikat mahupun para penumpang penerbangan tambang rendah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
BAR yang mendakwa mewakili sebahagian besar syarikat penerbangan yang beroperasi di Malaysia semalam mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan AirAsia Bhd. dan AirAsia X Bhd. untuk membatalkan saman oleh MAHB atas tunggakan pembayaran cukai lapangan terbang.
Menurut BAR, pihaknya gembira kerana caj perkhidmatan penumpang (PSC) akhirnya diselaraskan ‘setelah sekian lama’.
Riad berkata, berbanding dengan syarikat penerbangan yang diwakili BAR yang kesemuanya berpangkalan di KLIA, Kumpulan AirAsia bertanggungjawab membawa hampir kesemua penumpang yang menggunakan KLIA2.
Malah, katanya, jumlah penumpang AirAsia di KLIA2 adalah lebih tinggi daripada jumlah penumpang kesemua 39 syarikat penerbangan yang diwakili BAR menggunakan KLIA.
“Berdasarkan data trafik penumpang MAHB, daripada 31.89 juta penumpang yang terbang menerusi KLIA2 pada tahun lalu, 30.91 juta atau 97 peratus adalah penumpang Kumpulan AirAsia manakala hanya 28.1 juta penumpang menggunakan terminal utama KLIA pada 2018, iaitu jumlah penumpang keseluruhan kesemua 39 syarikat penerbangan anggota BAR.
“Sejak 2017 hingga Jun 2019, sebanyak RM1.4 bilion atau 75 peratus daripada jumlah bayaran yang dibuat oleh Kumpulan AirAsia kepada MAHB merupakan PSC yang pada hakikatnya dibayar oleh para penumpang sendiri. Ini belum termasuk tambahan RM23 yang enggan dikutip oleh AirAsia bagi penumpang yang terbang ke destinasi luar dari ASEAN,” katanya.
Beliau memberitahu, baki 25 peratus lagi bayaran kepada MAHB terdiri daripada caj lapangan terbang termasuk caj pendaratan, parkir, jambatan aero dan sewa fasiliti yang ditanggung Kumpulan AirAsia.
AirAsia Group Bhd., bagi pihak unit AirAsia Bhd., dan AirAsia X Bhd. pada minggu lepas akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung perintah pembayaran berjumlah RM40.73 juta bagi PSC yang tidak dibayar kepada Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. (MASSB) serta gabungan caj bayaran lewat yang tidak dibayar berjumlah RM792,382.
Dalam kenyataan Selasa lalu, MAHB tetap akan mengambil langkah untuk mengutip tunggakan PSC yang perlu dibayar kepadanya daripada AirAsia dan AirAsia X seperti diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Julai.
MAHB berkata, dalam mengendalikan operasi dan menguruskan 39 lapangan terbang di Malaysia, ia bertanggungjawab memastikan perkhidmatan dan kemudahan di semua lapangan terbang diselenggara pada tahap optimum untuk syarikat penerbangan dan juga penumpang.











