Bon, sukuk Malaysia kekal sebagai aset pelaburan menarik – BPAM - Utusan Malaysia

Bon, sukuk Malaysia kekal sebagai aset pelaburan menarik – BPAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Julai – Bon dan sukuk Malaysia kekal sebagai aset pelaburan menarik bagi para pelabur yang mahukan nilai, kata Agensi Pe­netapan Harga Bon Malaysia (BPAM).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Meor Amri Meor Ayob berkata, pulangan dari bon dan sukuk Malaysia kekal positif berban­ding beberapa negara lain, yang menjadikannya pilihan lebih baik dari segi memaksimumkan keuntungan.

“Apabila melihat nilai, pulangan bersih pelbagai bon kita tahun ini setakat ini adalah dari 4.95 peratus kepada 5.21 peratus lebih tinggi berban­ding kadar inflasi dan kekal positif berbanding beberapa negara lain dengan pulangan sifar atau negatif.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami mahu memaksimumumkan keuntungan tanpa mengambil kira tukaran ­asing atau isu politik. Dari segi pulangan, bon Malaysia kekal menguntungkan,” katanya pada pelancaran Siri Indeks Bon Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) pertama di Malaysia di sini hari ini.

Meor Amri berkata, prestasi bon Malaysia pada separuh pertama tahun ini juga dilihat cukup menonjol dan sentimen itu berkekalan selagi pasaran-pasaran utama global melaksanakan kadar faedah rendah susulan pertikaian perdaga­ngan AS-China yang berlarutan selain pelan Brexit di bawah kepimpinan Perdana Menteri British yang baharu. Boris Johnson.

Beliau juga berkata, pegangan asing dalam bon dan sukuk Malaysia sehingga Jun tahun ini kekal stabil pada kira-kira 37 peratus daripada jumlah nilai tertunggak bon dan sukuk Malaysia.

Mengenai Siri Indeks Bon ESG, beliau berkata, ia meliputi bon dan sukuk jangka panjang dalam ringgit yang memenuhi prinsip ESG dan bertujuan untuk menjadi titik rujukan pertama bagi segmen pendapatan tetap.

Beliau berkata, indeks itu mengetengahkan penerbit bon dan sukuk yang dikeluarkan mengikut prinsip ESG dan menjejaki prestasinya, dan boleh digunakan sebagai penanda aras untuk membandingkan pulangan dengan pelaburan lain.

Meor Amri berkata, indeks itu disokong data untuk mula menjejakinya dari Januari 2018, dan kini memantau 111 bon dan sembilan penerbit dengan jumlah permodalan pasaran sebanyak RM4.05 ­bilion pada Jun tahun ini. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini