Salah pilih kursus atau tiada kerja? - Utusan Malaysia

Salah pilih kursus atau tiada kerja?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hutang isi rumah di Malaysia pada masa ini dilaporkan lebih tinggi berbanding negara yang mempunyai pendapatan perkapita tinggi seperti Itali, 40.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Jepun (58.1 peratus) dan Amerika Syarikat (76.3 peratus).

Penganalisis ekonomi berpendapat hutang isi rumah di Malaysia pada kadar 82.1 peratus daripada KDNK itu di­sebabkan kadar gaji yang tidak meningkat naik seiring de­ngan kadar kos sara hidup.

Lebih-lebih lagi, Kuala Lumpur mencatatkan peningkatan tertinggi bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol sebanyak empat peratus yang mana secara keseluruhan indeks kumpulan itu menunjukkan peningkatan 2.3 peratus pada Jun 2019.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagi mereka yang sekurang-kurangnya bekerja mungkin cabaran kehidupan tersebut tidak begitu menyeksakan berban­ding mereka yang sedang mencari pekerjaan buat sekian lama.

Menurut Statistik Utama Tenaga Buruh Malaysia Mei 2019, kadar pengangguran pada Mei lalu turun kepada 3.3 peratus berbanding 3.4 peratus pada bulan sebelumnya. Bagaimanapun, penurunan itu hanya pada kadar yang rendah.

Ini bermakna masih ramai di luar sana berdepan dengan isu pengangguran. Persoalannya, mengapa?

Salah pilih kursus

Meskipun sudah hampir me­langkau 2020, masih ada segelintir masyarakat yang tidak berpijak di bumi nyata dan enggan mengkaji apakah jenis pekerjaan yang paling banyak mendapat permintaan ketika ini atau lima tahun akan datang.

Belum lagi yang masih dikongkong ibu bapa yang memaksa untuk anak mereka menjadi doktor. Tahukah anda seorang pakar membuat kek yang hanya bekerja di rumah boleh meraih pendapatan sama se­perti doktor? Harga kek berhias bagi majlis perkahwinan boleh mencecah ribuan ringgit ya.

Dunia berubah, lima tahun lalu, tidak pernah sekali influencer disebut-sebut tetapi kini, ia semakin menjadi pilihan pelbagai jenama untuk dijadikan medium mempromosikan produk mereka.

Malah, sehingga media massa tempatan juga kadangkala dianaktirikan dek populariti influencer ini. Terpulang kepada strategi pemasaran sesebuah syarikat itu, tetapi bukankah pemasaran yang seimbang itu lebih baik?

Adakah ini bermakna kita kena belajar bagaimana untuk menjadi influencer? Mungkin tidak ada kursus spesifik, tetapi terdapat beberapa ijazah berkaitan seperti Sarjana Muda Pengurusan Teknologi atau Sarjana Muda Teknologi Pemasaran Digital. Digital adalah kata kunci.

Terdapat beberapa kursus di Malaysia yang perlu diberi nafas baharu. Ini kerana, pembelajaran dan kemahiran daripada kursus berkenaan mungkin tidak relevan lagi buat masa ini.


Tiada kerja kosong?

Semakin hari semakin mudah untuk mencari pekerjaan. Orang ramai perlu rajin teroka platform carian kerja yang kini lebih daripada 10, antaranya Wobb.my, Monster dan MauKerja.

Begitu juga dengan LinkedIn. Lebih baik luangkan masa di laman web ini berbanding asyik main Facebook dan membawang semata-mata.

Bagaimanapun, perlu diakui terdapat beberapa syarikat yang mewajibkan Bahasa Mandarin apabila mencari pekerja. Meskipun begitu, sebenarnya ramai sahaja kaum lain yang boleh berbahasa Mandarin tetapi kadangkala permohonan mereka tetap ditolak. Agak-agak me­ngapa ya? Fikirlah sendiri.

Belum lagi sikap majikan yang asyik mencari pelajar praktikal dan menganggap mereka seperti pekerja sepenuh masa sehingga memperlakukan seperti kuli. Padahal pelajar itu hanya dibayar elaun yang seciput sahaja.

Amalkan konsep berkongsi rezeki. Jika sesebuah syarikat itu mampu untuk menggaji pekerja seperti Pereka Grafik, berikan gaji setimpal buat mereka. Hargai seni. Idea menghasilkan satu rekaan itu mahal nilainya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini