NANJING, China – Bintang baharu Juventus, Matthijs de Ligt berdepan situasi memalukan apabila dia menjaringkan gol sendiri semasa penampilan pertamanya buat kelab tersebut ketika menentang Inter Milan pada siri jelajah persahabatan Piala Kejuaraan Antarabangsa (ICC) 2019 awal pagi semalam.
Bekas pemain Ajax Amsterdam itu menyertai Juventus dengan reputasi hebat selaku pemain pertahanan, namun dia tertampan bola ke gawang sendiri seawal minit ke-10, sekali gus memberi ruang kepada Inter mendahului 1-0 sehinggalah Cristiano Ronaldo menyamakan kedudukan pada minit ke-68.
Penjaga gol Juventus, Gianluigi Buffon muncul wira dengan membantu juara Serie A itu memenangi perlawanan tersebut 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti.
Ketua jurulatih Juventus, Maurizio Sarri berkata, dia memaafkan aksi kelam kabut De Ligt itu memandangkan ia adalah perlawanan pertamanya bersama skuad The Old Lady.
“Saya yakin Juventus boleh meningkatkan lagi mutu persembahan terutamanya dalam segi serangan.
“Cara pemikiran pemain sebenarnya boleh diubah dan ia bukannya boleh dilakukan dalam masa yang singkat,” jelas Sarri.
De Ligt, 20, menyertai Juventus dengan nilai perpindahan berjumlah £66.9 juta (RM349.87 juta) minggu lalu. – Agensi











