SHAH ALAM – Seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan ditemui lemas tersembam di dalam baldi tandas sebuah taska di Seksyen 32 di sini, tengah hari semalam.
Abdul Rayyan Mijan, ditemui tidak sedarkan diri oleh penjaga taska berkenaan selepas dipercayai merangkak ke dalam tandas yang tidak dikunci pintunya.
Ibu mangsa dikenali Royani yang menerima panggilan kecemasan daripada pihak taska terus bergegas ke taska tersebut.
Katanya yang merupakan ibu tunggal itu, dia sempat memeluk anaknya itu pagi semalam ketika menghantar ke taska tersebut.
“Abdul Rayyan disahkan meninggal dunia sebaik tiba Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang sebelum jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kebun,” katanya.
Kosmo! Online difahamkan pihak polis akan menahan pemilik taska itu untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan pihaknya.
“Kenyataan media akan dikeluarkan nanti,” katanya. – K! ONLINE











