NEW DELHI 25 Julai – Seorang banduan wanita yang menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana disabitkan atas kesalahan pembunuhan bekas Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi, telah dibebaskan hari ini dibawah parol selama 30 hari bagi membuat persiapan perkahwinan anak perempuannya.
Nalini Sriharan mendapat kelulusan permohonan parol itu daripada Mahkamah Tinggi Madras pada awal bulan ini, setelah menghabiskan hampir tiga dekad di penjara kerana terlibat dalam kejadian pengeboman bekas perdana menteri itu.
Nalini yang merupakan warganegara India telah ditahan, bersama suaminya dan 25 individu lagi, sejurus insiden pengeboman serta didapati bersalah melakukan konspirasi dan membantu pengebom berani mati, Thenmozhi Rajaratnam.
Mahkamah meringankan hukuman mati Nalini kepada penjara seumur hidup di atas rayuan balu Gandhi pada tahun 2000.
Ketika ditahan Nalini sedang mengandung dan melahirkan anaknya di penjara. Anak perempuannya itu kini merupakan seorang doktor di United Kingdom (UK).
Nalini dibebaskan dari Penjara Vellore dan akan menghabiskan masanya di bandar.
Dia dilarang oleh mahkamah untuk bercakap dengan media atau ahli politik. – AFP.











