HULU SELANGOR – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan dan terbabas dalam satu kemalangan di Kilometer 430.03 Lebuh Raya Utara Selatan di sini hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Azman Ab. Rahman berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.20 petang sewaktu mangsa, Muhammad Syafiq Mohd. Radzwan, 23, sedang dalam perjalanan menghala ke Utara dari arah Rawang.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang mangsa seorang diri dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas.
“Susulan kejadian itu, mangsa yang menetap di Bandar Sungai Buaya di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba tidak lama kemudian,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Azman, mayat mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE











