PENAHANAN seorang Hakim Mahkamah Sesyen di Kuala Kubu Bharu, Selangor oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah melepaskan pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk dihantar ke depot tahanan Imigresen, Isnin lalu mengesahkan bahawa rasuah itu tidak kenal bulu. Ia juga membenarkan pepatah Melayu iaitu ‘harapkan pegar, pegar makan padi’.
Ini juga adalah petanda rasuah itu makin parah sehinggakan orang yang sepatutnya menegakkan keadilan turut terlibat. Kes tersebut susulan penahanan enam anggota polis, timbalan pendakwa raya dan peguam pada 17 Julai lalu oleh SPRM yang turut merampas sejumlah wang tunai.
Semua orang tahu rasuah adalah haram dan ditegah sama sekali oleh Islam. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu menyuap dengan harta itu kepada para hakim dengan maksud agar kamu dapat memakan sebahagian dari harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahuinya.(al-Baqarah: 188)
Malangnya, kali ini hakim pula yang terlibat. Jika ini berlarutan di mana lagi masyarakat mahu dapatkan keadilan di dunia yang sementara ini. Yang jelas, kes ini mencemar nama baik institusi kehakiman negara yang selama ini dipandang tinggi oleh masyarakat. Rakyat amat mengharapkan badan kehakiman negara menjadi tempat tertinggi memperoleh neraca keadilan. Sayangnya, ada juga hakim yang tidak kebal dengan rasuah.
Menurut statistik Data Pesalah di dalam portal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bermula Januari hingga Jun 2019 terdapat 754 tangkapan melibatkan penjawat awam dan orang awam di seluruh negara. Daripada jumlah itu 44.29 peratus atau 334 terdiri daripada penjawat awam meliputi kategori pengurusan tertinggi, pergurusan dan profesional serta staf sokongan.
Apabila bercakap tentang rasuah, antara penyelesaiannya adalah menaikkan gaji individu yang terlibat dengan Badan Kehakiman, khususnya para hakim. Ia bagi mengelak mereka terlibat dengan gejala rasuah. Namun, punca sebenar amalan rasuah adalah nafsu, iaitu gaya hidup melebihi pendapatan. Mereka tidak ukur baju di badan sendiri.
Berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) (Akta 694), terdapat empat kesalahan rasuah yang utama iaitu:
- Meminta/Menerima rasuah [seksyen 16 & 17(a) Akta SPRM 2009]
- Menawar/Memberi suapan [seksyen 17(b) Akta SPRM 2009]
- Mengemukakan tuntutan palsu [Seksyen 18 Akta SPRM 2009]
- Menggunakan jawatan/kedudukan untuk suapan pegawai badan awam [Seksyen 23 Akta SPRM 2009]
Benarlah, wang mempunyai kuasa untuk membeli pangkat dan kedudukan serta segala kemahuan yang diperlukan. Namun, perlu diingatkan bahawa wang bukan jaminan untuk kekal hidup bahagia kerana jika silap langkah, kita boleh jadi hamba kepada wang yang disembah oleh individu-individu yang bersikap tamak dan rakus.
Daripada Muadz bin Jabal r.a berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Ambillah pemberian itu selama ia masih sebagai pemberian. Tetapi apabila ia telah menjadi rasuah dalam pandangan agama, maka jangan kamu mengambilnya. Namun kenyataannya kamu tidak akan dapat meninggalkan rasuah itu kerana kamu takut fakir dan kamu sangat berhajat untuk mengambilnya. (riwayat At-Tabrani)
Tokoh ulama kontemporari, Prof. Dr Yusuf al-Qaradawi berkata: Termasuk memakan harta orang lain dengan cara yang batil ialah menerima rasuah/suap. Iaitu wang yang diberi kepada penguasa atau pegawai, supaya penguasa atau pegawai tersebut menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya, atau hukum yang merugikan lawannya menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada suatu kepentingan dan sebagainya. (al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 626)
Termasuk dalam perbuatan rasuah adalah dengan cara menyogok hakim dan peguam cara, agar memperjuangkan dan memenangkan seseorang dalam sesuatu perkara yang sebenarnya bukan menjadi haknya. Akan tetapi disebabkan kerana bayaran dan kemahirannya dalam berhujah, seseorang itu dimenangkan dalam perbicaraan mahkamah.
Ingatlah larangan keras Nabi SAW berkaitan rasuah sebagai sabda baginda yang bermaksud: Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah. (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)
Di dunia mungkin kita boleh lepas daripada hukuman undang-undang negara. Namun mampukah kita menanggung azab yang dijanjikan kepada golongan yang terlibat rasuah di akhirat? Saat di mana tidak ada satu pun perbuatan walau sekecil zarah yang terlepas daripada neraca timbangan Allah SWT. Janganlah kerana nafsu serakah, kita terseksa dan dihumban dalam neraka Allah.











