SULTAN Ahmad Shah mencatat sejarah sebagai Sultan Pahang yang pertama ditabalkan menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-7 pada 10 Julai 1980 sekaligus menjadi ketua negara Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Portal Diraja Pahang (www.dirajapahang.my), sebelum bersemayam selaku Yang di-Pertuan Agong, baginda telah terlebih dahulu diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja Melayu untuk memegang jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 21 September 1975.
“Baginda seterusnya dilantik oleh Majlis Raja-Raja Melayu menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-VII menggantikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong yang ke-VI, Sultan Yahya Petra Ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim yang telah mangkat pada 25 April 1979” (Portal Diraja Pahang).
Menariknya, putera sulung baginda, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah yang naik takhta sebagai Sultan Pahang 40 tahun kemudian, bakal ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai ini.
Utusan Malaysia pada 25 April 1984 menyiarkan wawancara khas dengan baginda menyorot sepanjang lima tahun menjadi Yang di-Pertuan Agong yang telah berjaya menambah kasih sayang rakyat dengan personaliti baginda yang mudah mesra sehingga menjadikan kerusi Yang di-Pertuan Agong sangat menarik.
Baginda yang membahasakan dirinya ‘saya’ menyatakan: “Saya suka katakan di sini bahawa saya tidak dapat menilai kejayaan saya sendiri, jika saya dianggap berjaya maka saya bersyukur ke hadrat Allah SWT atas kejayaan itu dan sebaliknya jika saya dianggap tidak berjaya maka itu adalah kelemahan saya sendiri.
“Saya tidak merasa ada perbezaan di antara saya sebagai Raja Negeri Pahang dan sebagai Yang di-Pertuan Agong. Keperibadian saya serupa saja. Saya sentiasa berpegang kepada konsep bahawa ‘Rakyat dan Raja berpisah tiada!” (Utusan Malaysia 25 April 1984).
Menurut baginda lagi, sebagai raja di Pahang, baginda juga mengadakan rumah terbuka, serta menjelajah ke kampung-kampung, masjid dan surau.
“Yang sebenarnya, apabila saya mendapat panggilan telefon dari Perdana Menteri (waktu itu) Tun Hussein Onn, mengenai kemangkatan Al-Marhum Sultan Yahya Petra, pada petang itu saya baru balik dari melawat beberapa daerah iaitu Jerantut, Temerloh dan Chenor.
“Kemesraan saya dengan rakyat bukanlah perkara baru. Bezanya semasa saya melawat kampung-kampung di ceruk rantau negeri Pahang, tidak ramai orang luar yang tahu. Surat khabar tidak menulis tentang lawatan itu atau pun pertemuan saya dengan rakyat. Gambar saya di televisyen pun jarang sekali keluar (ketawa). Apabila saya diangkat oleh raja-raja bersemayam di Istana Negara, maka saya bawa stail saya di Pahang ke Kuala Lumpur, itu saja,” titah baginda (Utusan Malaysia 25 April 1984).
Menerusi wawancara dengan Utusan Malaysia itu baginda turut menyentuh isu Pindaan Perlembagaan pada 1983 yang banyak menguji kesabaran dan kebijaksanaan baginda semasa menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-7.
Walaupun ketika krisis itu berlaku baginda mendapat cuti sakit akibat serangan jantung, namun baginda tetap memikirkan formula bagaimana untuk menyelesaikan krisis itu menerusi sepucuk surat kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Beliau (Perdana Menteri) bersetuju dengan formula saya. Saya pun membawa formula itu kepada raja-raja dan akhirnya formula itu dibawa ke Parlimen,” titah baginda (Utusan Malaysia 25 April 1984)
Menurut Noor Sulastry Yurni Ahmad dalam bukunya Hegemoni Budaya Politik Melayu (2014), pada 1983, berlaku cubaan mengambil kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja ke atas Rang Undang-Undang yang telah diluluskan oleh Parlimen atau Dewan-dewan Undangan Negeri.
“Pindaan itu juga cuba memindahkan kuasa mengisytihar darurat kepada Perdana Menteri.
Bagaimanapun kedua-dua pindaan ini telah ditolak oleh Majlis Raja-Raja dan sebagai komprominya Yang di-Pertuan Agong diberi kuasa memulangkan rang undang-undang yang berkenaan untuk dipertimbangkan semula. Sementara itu, pindaan kuasa darurat telah dibatalkan.
Di peringkat negeri pula kuasa raja dikembalikan kepada kedudukan yang asal.
“Pada 1983, pindaan Perlembagaan yang dibuat ialah mengenai keistimewaan imuniti dan kuasa pengampunan raja-raja. Pindaan telah dibuat atas Rang Undang-Undang, akan menjadi undang-undang secara automatik tanpa mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atau raja-raja selepas tempoh 30 hari.
“Pindaan ini dianggap tidak sah kerana ia tidak mendapat perkenan Majlis Raja-Raja sebagaimana dikehendaki oleh Perlembagaan Perkara 38(4). Begitu juga dengan pindaan yang telah memaksa Yang di-Pertuan Agong menerima saja nasihat kabinet yang dibuat pada tahun itu” (Noor Sulastry Yurni Ahmad 2014: 220).
Hasil kebijaksanaan baginda akhirnya kerajaan berjaya menyelesaikan krisis Perlembagaan itu dari berlarutan.











