ALOR SETAR 25 Julai – Pengusaha produk makanan berasaskan daging kambing, Jabbal Food bersyukur kerana hasil keluarannya iaitu kambing perap berempah istimewa kini semakin mendapat tempat daripada penggemar makanan itu.
Menurut pemiliknya, Arshadzabani Nayan, 33, dia telah memulakan perniagaannya sejak 2015 secara kecil-kecilan sehinggalah berkembang sehingga kini.
Katanya yang menggunakan pelbagai rempah-ratus bagi menghasilkan perapan daging berkualiti itu, sehingga kini pihaknya dapat menjual kira-kira 30 peket kambing perap dengan berat 250 gram, sehari.
“Sejak produk ini mendapat sijil halal dan Skim Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (Mesti) pada tahun lalu, kita telah meningkatkan pemasaran khususnya menerusi dalam talian dan Alhamdulillah telah membuahkan hasil,” katanya.
Arshadzabani ditemui semasa sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri 2019 dan Minggu Keusahawanan serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi zon Utara di Taman Jubli Emas di sini, hari ini.
Pada majlis tersebut, Jabal Food menerima Anugerah Inovasi Pertanian dan Industri Asas Tani Jaya yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Tambah Arshadzabani, selain menghasilkan kambing perap berempah istimewa, pihaknya turut menawarkan perkhidmatan menyediakan kambing golek bagi majlis-majlis keraian.
Katanya, pihaknya tidak mempunyai masalah mendapatkan bekalan kambing kerana juga memiliki kira-kira 200 ekor ternakan itu yang dipelihara di Pokok Sena di sini.
“Di bawah Jabal Farm Sdn. Bhd., kita mempunyai bekalan kambing yang mencukupi,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perkhidmatan Veterinar Daerah dan Pembimbing, Siti Nurhidayah Kamalina Abdullah berkata, produk kambing perap berempah istimewa dihasilkan Jabal Food mempunyai rasa yang unik berbanding produk sama di pasaran.
“Ia mempunyai rasa berbeza yang menggabungkan antara rasa Asia dan Barat. Tidaklah seperti produk lain yang biasanya hanya menggunakan lada hitam sebagai perapan,” katanya.
Orang ramai yang ingin membuat tempahan boleh berbuat demikian dengan menghubungi Jabal Food di talian 019-5905060. – UTUSAN ONLINE











