Maqis P. Pinang rampas hasil pertanian bernilai lebih RM75,000 - Utusan Malaysia

Maqis P. Pinang rampas hasil pertanian bernilai lebih RM75,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 25 Julai – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) negeri mengagalkan cubaan membawa keluar hasil pertanian ke Indonesia tanpa dokumen yang sah seperti permit eksport di Jeti Perai, Butterworth.

Rampasan tersebut adalah hasil pemeriksaan ke atas sebuah bot dagang yang dikendalikan empat warga Indonesia pada 10 Julai lalu kira-kira pukul 9.30 malam.

Menurut Pengarah Maqis negeri, Zarina Ramli, hasil pemeriksaan mendapati terdapat pelbagai barangan keluaran pertanian di atas bot itu dengan nilai sebanyak RM75,391.20.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, barangan itu termasuk 40 paket rumpai laut kering; Kuki Sesame Oil (12 botol); Kaskatti (Acacia Catechu) 2316.15 kilogram (kg); kunyit (253kg); kaskas (3,094kg); getah anggur (253kg); biji benih sawi (50.4kg); gandum (25.75kg); gram bukit (133.8kg) dan 41 guni Guni Jute.

Tambah beliau, pihaknya mengeluarkan kompaun sebanyak RM7,539.20 kepada individu tersebut setelah mendapat kebenaran daripada Timbalan Pendakwa Raya atas kesalahan mengeksport tanpa dokumen yang sah. 

“Perbuatan mengeksport produk keluaran pertanian tanpa permit yang sah adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11(2), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Kesalahan ini boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama yang mana jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Zarina, pihaknya sentiasa bersedia dalam melakukan tugasan di semua pintu masuk negara bagi memastikan komoditi haiwan, pertanian dan ikan yang masuk mahupun keluar dari negara ini mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.

Tambahnya, penguatkuasaan undang-undang itu bagi memastikan keselamatan rantaian makanan terjamin sekali gus selamat dimakan oleh rakyat negara ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini