IPOH 25 Julai – Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak bersedia untuk berdepan Lembaga Disiplin PKR kerana didakwa mengeluarkan tuduhan terbuka terhadap Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Menurutnya, beliau akur jika dipanggil untuk memberi penjelasan berkenaan kenyataannya baru -baru ini, berkait isu video tular yang dikaitkan dengan seorang menteri.
“Saya akur dan akan memberikan kerjasama penuh (jika dipanggil oleh Lembaga Disiplin PKR) demi presiden dan parti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Farhash menegaskan, beliau seorang yang berbeza dengan ahli politik yang lain kerana beliau membuka teguran secara telus.
“Bezanya saya dengan beberapa ahli politik lain ialah teguran saya tidak pernah berlapis dan
kadangkala ia tidak dapat diterima dengan senang oleh beberapa pemimpin,” katanya.
Kelmarin, Farhash ketika berucap dihadapan puluhan penyokongnya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, melaungkan ‘Azmin semburit’ dan ‘Anwar PM Kelapan’, selepas dibebaskan daripada tahanan polis.
Dia dibebaskan dengan jaminan polis bersama seorang lagi individu yang ditahan bersamanya di Masai, Johor selepas tempoh tahanan reman berakhir semalam.
Kedua-dua mereka ditahan pada 16 Julai lalu bagi membantu siasatan berhubung video lucah yang turut mengaitkan Azmin.
Turut dibebaskan semalam adalah Haziq Abdullah Abdul Aziz yang sebelum ini mengaku sebagai lelaki dalam video lucah berkenaan, selepas ditahan bersama lima individu dalam serbuan ke atas beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang pada 14 Julai lalu. – UTUSAN ONLINE











