IPOH 25 Julai – Percaturan jurulatih Perak, Mehmed Durakovic untuk menyenaraikan pemain terbaiknya pada perlawanan akhir Piala FA Sabtu ini sedikit terjejas ekoran kecederaan dua pemain tonggak.
Pemain tengah, Brendan Gan mengalami kecederaan pada pergelangan kaki manakala pemain pertahanan dari Lebanon, Hussein El Dor mengalami kecederaan hamstring.
Menurut Durakovic, dia memberikan masa 48 jam untuk menentukan samada kedua-dua pemain tersebut boleh diturunkan pada final menentang Kedah.
“Ya saya bimbang kecederaan yang dialami Brendan, begitu juga kecederaan yang dialami oleh Hussein. Saya akan memantau keadaan mereka pada sesi latihan hari ini.
“Saya akan membuat keputusan sama ada mereka boleh beraksi atau tidak pada saat akhir sebelum perlawanan nanti,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Perak hari ini.
Brendan dan Hussein dilihat turut menyertai latihan bersama pasukan hari ini.
Sementara itu Durakovic berkata, persiapan pasukannya berjalan lancar walaupun sudah dua hari
tidak menjalani latihan padang akibat hujan semalam dan kelmarin.
Menurutnya, ia bukan masalah kerana sesi latihan tetap diadakan dengan pemain berlatih di gimnasium.
“Hari ini kami dapat mengadakan latihan di padang namun ia bukan masalah, persiapan kami
berjalan dengan lancar,” katanya.
Mengenai peluang pasukannya untuk mendakap Piala FA, Durakovic berkata, para pemain akan beraksi dengan semangat untuk membawa pulang piala tersebut selepas 14 tahun.
“Saya yakin jika kami bermain dengan baik, mungkin kami mampu memang, tapi Kedah satu pasukan yang sangat baik,” katanya. – UTUSAN ONLINE











