DUNGUN – Dua kakitangan sebuah syarikat perkapalan maut selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Mitshubishi Triton dinaiki hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam parit di Kilometer 346, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Kuala Dungun dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 2 petang itu, Mohamad Farizul Firdaus Shafie, 29, dan rakan sekerjanya, Samsol Bahri Mangsor, 25, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sewaktu kejadian, kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan untuk melakukan lawatan tapak di Kemaman dari pejabat mereka di Kuala Terengganu.
“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kenderaan pacuan empat roda Mitshubishi Triton dinaiki mereka dikatakan tiba-tiba hilang kawalan sehingga terbabas ke kiri lebuh raya.
“Samsol Bahri yang memandu kenderaan tersebut dikatakan cuba mengawal kembali pemanduan namun gagal sehingga terjunam ke dalam parit,” katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.
Baharudin berkata, pekerja peronda lebuh raya yang kebetulan melalui laluan berkenaan telah membantu mengeluarkan kedua-dua mangsa yang telah meninggal dunia. – K! ONLINE











