PULAU PINANG 25 Julai – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket perjudian online yang berselindung di sebalik premis perniagaan membaiki komputer selepas menyerbu sebuah kedai di kondominium di Sungai Ara, di sini malam tadi.
Dalam operasi oleh sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya kira-kira pukul 11 malam itu, seramai lima lelaki berusia 19 hingga 40 tahun yang bekerja di premis berkenaan turut ditahan.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan berkata, operasi itu dilakukan hasil risikan pihaknya sejak beberapa minggu lalu berhubung kegiatan perjudian online di premis tersebut.
Tambah beliau, siasatan mendapati sindiket itu yang baru beroperasi kira-kira sebulan lalu menjadikan kedai tersebut sebagai pusat bagi menyelaras aktiviti perjudian online berkenaan.
“Premis ini dijadikan pusat operasi untuk menyelaras pertaruhan seperti lumba kuda, anjing dan pelbagai lagi yang dipercayai berlangsung di luar negara.
“Mereka menggunakan pelbagai peralatan komputer canggih untuk mengawal pertaruhan terbabit dan kita sedang mengesan dalang di sebalik sindiket perjudian ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Anbalagan, sindiket itu menggajikan lima pekerja warga tempatan yang bekerja mengikut syif tertentu dengan pendapatan sebanyak RM2,000 sebulan.
Katanya, lima lelaki itu kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4B(a), Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan perjudian di kawasan mereka supaya bekerjasama dengan pihak polis menyalurkan maklumat bagi membanteras kegiatan tersebut. – UTUSAN ONLINE











