PULAU PINANG 25 Julai – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyokong usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mendapatkan dana daripada Kerajaan Pusat bagi membiayai sebahagian projek Pelan Induk Pengangkutan (PIP) negeri.
Menurut Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan, permohonan itu penting bagi membolehkan kerajaan negeri mengkaji semula saiz dan skala projek tambak laut di perairan selatan (PSR) negeri ini yang bertujuan membentuk tiga buah pulau buatan.
Dalam masa sama, beliau berbesar hati dengan kesediaan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow untuk mengkaji semula saiz dan skala projek tambak laut itu iaitu tindakan yang disifatkan turut mengambil kira keluhan masyarakat khususnya golongan nelayan.
“Di peringkat PKR pula, saya telah minta Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan barisan Exco PKR untuk melihat dan mendengar keluhan nelayan serta komuniti yang terlibat dalam projek ini untuk dikemukakan bagi pertimbangan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mendengar taklimat daripada Kon Yeow serta syarikat pemaju tambak laut, Konsortium SRS di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini hari ini.
Taklimat itu susulan perjumpaan Anwar bersama lebih 200 nelayan di Teluk Kumbar di sini pada 13 Julai lalu yang bimbang dengan nasib serta masa depan mereka ekoran rancangan projek tambak laut tersebut.
Kerajaan negeri ketika ini merancang menambak laut seluas kira-kira 1,800 hektar di Permatang Damar Laut di sini bagi membentuk tiga buah pulau buatan untuk dijual bagi mencari dana membiayai projek PIP yang menelan kos keseluruhan kira-kira RM46 bilion.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri berharap mendapat pembiayaan penuh daripada Kerajaan Pusat bagi sekurang-kurangnya dua projek keutamaan di bawah PIP iaitu pembinaan transit aliran ringan (LRT) dan projek lebuh raya Pan Island Link.
Menurutnya, kedua-dua projek itu dijangka menelan kos sebanyak RM20 bilion dan dan pihaknya akan memohon secara rasmi kepada Kerajaan Pusat dalam masa terdekat.
Tambah beliau, sekiranya permohonan dana daripada Kerajaan Pusat itu diluluskan atau kerajaan negeri berjaya mendapatkan dana daripada sumber lain, pihaknya bersedia menimbang semula projek tambak laut berkenaan dari segi skala dan saiz.
“Pada peringkat ini, kerajaan negeri akan terus berusaha supaya projek PIP ini akan menjadi projek Kerajaan Pusat dan sekiranya ini terjadi, ia akan menukar pertimbangan yang kita pegang sekarang (dari segi skala dan saiz projek tambak laut).
“Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk kita katakan yang mana projek ini akan menjadi projek Persekutuan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











