Edith dan Nicola - misi Scotland mari Kelate - Utusan Malaysia

Edith dan Nicola – misi Scotland mari Kelate

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 25 Julai – Menatap wajah penuh kesyukuran daripada ibu bapa pesakit jantung kanak-kanak sudah memadai sebagai ‘bayaran’ bagi dua jururawat unit rawatan rapi yang berasal dari Scotland.

Edith Gracie, 58, dan Nicola Cromptom, 39, adalah sebahagian daripada pasukan sukarelawan Healing Little Hearts (HLH) dari United Kingdom (UK) seramai lapan orang yang berjaya menjalankan pembedahan jantung ke atas 11 pesakit berusia 20 hari sehingga 32 tahun di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) bermula Ahad lalu.

Gracie berkata, biarpun tidak memahami butiran kata yang diucapkan kepadanya, dia yakin ibu bapa yang ditemui sangat berterima kasih dengan usaha yang dilakukan itu yang melibatkan pelbagai kepakaran termasuklah pakar bedah jantung kanak-kanak.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sangat berpuas hati dapat membantu, ada yang datang kepada saya dan memeluk saya dengan linangan air mata gembira, ini kali kedua saya ke sini selepas menyertai misi  serupa pada 2017.

“Biarpun sebenarnya saya sudah bersara dari berkhidmat di Royal Hospital for Children di Glasgow, Scotland tetapi saya sentiasa bersedia membantu terutama melalui program kebajikan begini,” katanya ketika ditemui di Hospital USM di sini hari ini.

HLH yang ditubuhkan sejak 2007 telah membantu memberikan rawatan dan pembedahan lebih 5,000 kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung kongenital di 12 buah negara di benua Asia, Eropah dan Afrika.

Bermula pada September 2015, HLH menanggung perbelanjaan membawa masuk pasukan pakar dari UK yang berkhidmat secara sukarela untuk membantu pesakit jantung kanak-kanak yang berada dalam senarai menunggu di Hospital USM menerusi satu hingga tiga misi setiap tahun.

Sementara itu, Nicola pula berkata, dia mengakui rindu kepada anak lelaki tunggalnya, Christpher Goold, 13, namun percaya sumbangannya di sini adalah sangat penting untuk membantu kanak-kanak yang tidak bernasib baik.

“Sekarang tempoh cuti persekolahan musim panas di sana, sebelum datang ke Malaysia saya sempat bawa Christopher melawat England beberapa hari jadi rasa ralat itu kurang,” katanya.

UK

Dalam pada itu, wakil pasukan HLH yang juga Pakar Runding Intensivis Hospital Leicester, UK, Dr Mohammed Shanisuz Zoha pula berkata, dia yakin Hospital USM mampu menyediakan perkhidmatan pembedahan jantung sendiri yang lebih meluas berdasarkan keupayaan yang ditunjukkan pakar dan kakitangan sedia ada.

“Dalam tempoh lima hari ini, pasukan kami bekerja dari pukul 6.30 pagi sehingga pukul 2.30 setiap hari dan kami dapat lihat rakan-rakan di sini sentiasa dalam keadaan bersedia membantu kami di dewan pembedahan.

“Layanan masyarakat di sini juga sangat menyentuh hati dengan senyuman ikhlas dan yang pentingnya kami tidak lapar kerana sentiasa dijamu makan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini