Operator kilang ditahan rakam wanita buang air kecil - Utusan Malaysia

Operator kilang ditahan rakam wanita buang air kecil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 25 Julai – Tindakan seorang operator kilang lelaki merakam gambar rakan sekerja wanita sedang buang air kecil di tandas sebuah kilang di Taman Perindustrian Berjaya,  Kempas di sini memakan diri apabila ditahan polis, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa berusia 23 tahun menyedari perbuatan suspek lelaki warga Vietnam itu yang merakam gambarnya dari bahagian atas di tandas bersebelahan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Taib Ahmad berkata, mangsa bertindak mengetuk pintu tandas sebelah di mana suspek berkenaan berada namun dia enggan membuka pintu tandas berkenaan.

“Semasa mangsa beredar bagi mendapatkan bantuan rakannya, suspek telah keluar dari bilik air dan wanita itu terus menahan lelaki berkenaan dengan bantuan rakannya.

“Mangsa bertindak merampas telefon bimbit milik suspek dan mendapati ada gambarnya ketika sedang membuang air kecil telah dirakam. Wanita itu terus memaklumkan perkara itu kepada pihak pentadbiran kilang sebelum membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Taib berkata, suspek berusia 20 tahun itu ditahan selepas laporan dibuat mangsa kira-kira pukul 12 tengah hari.

Katanya, susulan itu suspek telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 509 dan 292 Kanun Keseksaan iaitu mengaibkan kehormatan dan menyimpan gambar dan video lucah.

“Permohonan reman akan dilakukan keatas suspek bagi membolehkan siasatan dijalankan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×