USM, Healing Little Hearts berganding bantu pesakit jantung kanak-kanak - Utusan Malaysia

USM, Healing Little Hearts berganding bantu pesakit jantung kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 25 Julai – Seramai 71 pesakit jantung kanak-kanak berjaya menjalani pembedahan hasil kerjasama antara Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ‘Healing Little Hearts’ (HLH) dari United Kingdom (UK) sejak 2015.

Penyelaras program, Dr. Mohd. Rizal Mohd. Zain berkata, jumlah itu termasuk 11 pembedahan yang dijalankan ke atas pesakit berusia 20 hari hingga 32 tahun yang menghidap pelbagai masalah jantung kongenital bermula 21 Julai lalu sehingga hari ini.

Beliau berkata, misi selama lima hari kali ini disertai lapan pakar dari UK yang berkhidmat secara sukarela terdiri daripada pakar bedah kardiotorasik pediatrik; pakar kardiologi pediatrik; pakar intensivis; doktor; jururawat unit rawatan rapi dan perfusionis (pengawal alat pintasan jantung) yang diketuai pakar bedah jantung kanak-kanak kelahiran Malaysia, Dr Edward Peng.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Buat masa ini Hospital USM sendiri hanya mampu menjalankan pembedahan membabitkan kes-kes jantung kongenital yang mudah sahaja, jadi kehadiran pasukan dari UK ini juga membantu meningkatkan lagi keupayaan pakar dan kakitangan kami sendiri melalui proses pemindahan ilmu.

“Kami mempunyai senarai pesakit yang panjang dan kebanyakan menunggu giliran untuk dibedah di Institut Jantung Negara (IJN) dan Hospital Serdang, dalam masa terdekat terdapat 50 pesakit jantung kanak-kanak yang masih menunggu giliran mereka.

“Ada antara pesakit yang terpaksa menunggu sehingga tempoh dua tahun sebelum dapat dibedah, justeru kerjasama dengan pihak HLH dapat mengurangkan tempoh menunggu dan juga kos,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) di Kampus Kesihatan USM di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Setiausaha Yayasan Noor Al-Syakur (Yanas), Mohd Affendi Mohd Amin; Pengerusi Tabung Kebajikan Persatuan Alumni Doktor USM (PADUcare), Prof. Datuk Dr. Jafri Malin Abdullah; wakil pasukan HLH yang juga Pakar Runding Intensivis Hospital Leicester, UK, Dr. Mohammed Shanisuz Zoha dan Penyelaras Unit Pembangunan Korporat Hospital USM, Prof. Madya Datuk Dr. Abdul Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani.

Dalam majlis itu, Mohd Affendi yang mewakili pihak Yanas iaitu badan NGO yang diasaskan oleh Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Puan Sri Datuk Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj menyampaikan sumbangan berjumlah RM15,700 kepada PADUcare untuk menampung kos yang digunakan dalam program kebajikan bersama HLH tersebut.

Sementara itu, Dr Mohd Rizal yang juga pakar kardiologi pediatrik berkata, pihaknya amat mengharapkan sumbangan daripada orang ramai supaya lebih banyak lagi pesakit jantung kanak-kanak khususnya dari Kelantan dan Terengganu dapat dibantu.

“Secara asasnya kos diperlukan untuk menjalani pembedahan jantung di IJN adalah sebanyak RM50,000, itu pun belum dikira kos untuk penginapan, pengangkutan serta makan minum ibu bapa pesakit dan tidak termasuk lagi keperluan selepas itu,”katanya. 

Beliau berkata, sumbangan boleh dimasukkan ke akaun Bank Islam 03018010143422 di bawah nama PADUcare. 

Untuk rekod, HLH yang ditubuhkan sejak 2007 telah membantu memberikan rawatan dan pembedahan lebih 5,000 kanak-kanak yang menghidap penyakit jantung kongenital di 12 buah negara di benua Asia, Eropah dan Afrika. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini