SEREMBAN 25 Julai – Institusi keluarga pada masa kini terdedah kepada pelbagai isu yang harus diberikan perhatian khusus oleh semua pihak di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, antara isu tersebut ialah sistem sokongan sosial keluarga yang terhad, cabaran keibubapaan digital, trend keluarga komuter dan kelestarian kawasan persekitaran.
Katanya, isu penjagaan anak oleh ibu bapa yang bekerjaya merupakan isu utama dalam sistem sokongan sosial dihadapi oleh sesebuah keluarga masa kini.
“Anak-anak terpaksa dibiarkan tanpa pengawasan secukupnya oleh orang dewasa yang mana ini tidak pernah berlaku sebelum ini kerana sokongan daripada datuk, nenek, ibu dan bapa saudara.
“Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendedahkan terdapat lebih 6.9 peratus pasangan suami isteri di negara ini terpisah akibat tuntutan kerjaya atau lebih tepatnya dikenali sebagai pasangan komuter,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Forum Kitakan Keluarga : Membina Harapan Malaysia Baru sempena Sambutan Hari Ibu Bapa peringkat negeri di sini hari ini.
Seramai 250 orang mengambil bahagian dalam forum itu yang dianjurkan oleh LPPKN. Forum itu bertujuan mendapatkan input dan pandangan segenap lapisan masyarakat mengenai pembentukan deklarasi keluarga untuk dinilai dan diperhalusi oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Yang turut hadir, Yang Dipertua Badan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Wakil Rakyat dan Ketua Jabatan Wanita Kerajaan Negeri Sembilan (Bakriyah), Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof; Pengarah LPPKN negeri, Bibi Azlilee Abdullah dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang juga salah seorang panelis forum berkenaan.
Nicole berkata, kebejatan sosial hari ini juga banyak dikaitkan dengan pengaruh internet dan teknologi terhadap golongan muda dan kanak-kanak.
“Kajian Pengguna Internet 2018 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mendapati jumlah pengguna internet di negara ini pada tahun 2018 adalah sebanyak 28.7 juta berbanding 24.5 juta pengguna pada 2016.
“Ia meningkat sebanyak 4.2 juta dalam tempoh hanya dua tahun. Daripada jumlah itu, sebanyak 93.1 peratus menggunakan telefon pintar sebagai medium utama untuk mengakses internet,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











