KUALA LUMPUR – Seramai 1,375 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan bagi mengawal keselamatan dan trafik pada perlawanan akhir Piala FA antara Perak dan Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini pada Sabtu ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, anggota trafik akan memulakan kawalan seawal pukul 8 pagi untuk mengelakkan kesesakan di sekitar kawasan tersebut.
“Kawalan keselamatan pula bermula pada pukul 3 petang dengan pemeriksaan akan dilakukan kepada penonton sebelum pintu masuk dan selepas memasuki stadium.
“Pihak polis akan memeriksa tubuh dan juga sebarang beg yang dibawa oleh penonton jika terdapat sebarang bahan terlarang. Jadi, kita nasihatkan penonton untuk tidak membawa sebarang beg ketika menonton perlawanan,” katanya pada sidang akhbar Kawalan Keselamatan dan Lalulintas Perlawanan Akhir Bola Sepak Piala FA 2019 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Antara barangan terlarang yang tidak boleh dibawa masuk ke dalam stadium adalah mercun, topi keledar, objek tajam seperti besi dan kayu serta minuman keras.
Ketika diminta mengulas mengenai kegiatan ulat tiket di sekitar kawasan stadium pada hari kejadian, beliau menegaskan, tindakan akan diambil jika pihaknya dapat mengesan sesiapa yang terlibat.
“Kami tidak akan berkompromi dengan golongan ini dan orang ramai diminta untuk menyalurkan maklumat berkenaan kegiatan mereka.
“Pihak polis juga masih belum menerima sebarang penjualan tiket perlawanan palsu tetapi jika ada laporan, kita akan ambil tindakan,” ujarnya. – K! ONLINE











