KUALA LUMPUR 25 Julai – Universiti Multimedia (MMU) menjelaskan pihak itu berhak memutuskan perkara mengenai yuran aktiviti mahasiswa (SAF) tanpa persetujuan daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) atau mana-mana pertubuhan mahasiswa.
Menurut universiti itu, MMU menyedari protes mahasiswa berhubung kenaikan SAF pada 23 Julai lalu, namun menyatakan kadar baharu tersebut diputuskan setelah mengadakan kajian menyeluruh mengenai kos semasa diperlukan untuk menjayakan sebarang penganjuran acara dan aktiviti.
“Merujuk kepada laporan media bahawa kenaikan kadar yuran dibuat tanpa kelulusan MPP, universiti menjelaskan bahawa mengikut dasarnya, pihak pengurusan berhak memutuskan perkara itu tanpa persetujuan daripada MPP atau mana-mana pertubuhan pelajar.
“Walau bagaimanapun, pihak pengurusan sentiasa terbuka mengadakan perbincangan terbuka dengan mahasiswa. Malah, terdapat beberapa siri mesyuarat dan pertemuan dengan MPP pada 17 Mei, 12 Jun, 1 Julai dan 19 Julai lalu untuk membincangkan perkara itu,” jelas MMU dalam kenyataan di sini hari ini.
Presiden Mahasiswa Keadilan Malaysia, Na’im Brundage berkata, pihaknya akan terus mendesak kerajaan bagi menunaikan manifesto membabitkan kebajikan serta hak golongan itu termasuk dalam isu kenaikan mendadak yuran MMU.
Mengulas mengenai itu lagi, MMU menyatakan, objektif SAF adalah untuk menggalakkan mahasiswa menganjurkan lebih banyak aktiviti dalam membangun dan meningkatkan kemahiran kepemimpinan, komunikasi, kerja berpasukan, kreativiti, menyelesaikan masalah dan menanam tingkah laku warganegara yang baik dalam kalangan pelajar.
“Dengan semakan semula kadar ini, setiap persatuan pelajar akan menikmati lebih banyak peruntukan tahunan, peningkatan skim kebajikan pelajar, peningkatan insentif dan elaun kepada pelajar yang mewakili MMU, serta memperbanyakan program-program pembangunan karier,” jelas universiti tersebut.-UTUSAN ONLINE











