SHAH ALAM – Penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Selangor berpluang mendapat wang tunai RM1,000 menerusi Hadiah Masuk Universiti.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, pemohonan mendapatkan wang tunai tersebut adalah bagi isi rumah yang berpendapatan RM5,000 berbanding RM3,000 sebelum ini.
Katanya, ini adalah selaras tekad memberdaya rakyat negeri Selangor menerusi agenda pendidikan yang holistik.
“Kerajaan negeri Selangor telah membuka semula permohonan bagi Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) atau lebih dikenali dengan Hadiah Masuk Universiti.
“Mahasiswa yang telah mendaftar untuk sesi pengajian boleh memohon HPIPT berjumlah RM1,000 daripada kerajaan negeri bermula hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, penambahbaikan program itu berasaskan tekad kerajaan negeri agar lebih ramai pelajar dan keluarga yang akan menerima manfaat dari hasil kerajaan negeri.
Ujar Amirudin, kerajaan negeri sentiasa prihatin dengan masa depan anak-anak yang bakal melanjutkan pelajaran sekaligus menjadi pemimpin masa hadapan.
“Oleh itu program berasaskan agenda pendidikan seperti Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan Hadiah Masuk Universiti, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan Peduli Siswa akan terus ditambah baik demi manfaat rakyat negeri Saelangor.
“Justeru, mereka boleh melayari sesawang rasmi hpipt.selangor.gov.my . dengan tarikh tutup permohonan pada 27 Ogos depan,” katanya. – K! ONLINE











