KUALA LUMPUR 25 Julai – Itsu World Sdn. Bhd. (Itsu World) berjaya memecahkan rekod industri kesihatan dengan melancarkan 50 buah kedai dalam tempoh 10 bulan.
Ketua Eksekutif Operasi Itsu, Datuk Eric Cheah Yew Kong berkata, syarikat kerusi urut tersebut diasaskan oleh pasukan yang amat berdedikasi dan berpengalaman dalam bidang penjagaan kesihatan.
Tambah beliau, hasil daripada usaha mereka, Itsu berjaya membuka lebih 50 buah kedai yang menyediakan pengalaman untuk pengguna merasai sendiri keberkesanan produk mereka.
Menurut beliau, produk mereka adalah hasil daripada daya inovasi pasukan penyelidikan dan pembangunan Itsu dalam menggabungkan teknik urutan Jepun yang hampir pupus dengan teknologi terkini, dengan tujuan menyampaikan pengalaman sensei sebenar.
“Melalui pengalaman yang ada kami telah berjaya mencipta satu rekod baharu dengan membuka sebanyak 50 buah stor Itsu untuk para pengguna merasai sendiri produk kami di Malaysia, Indonesia dan Hong Kong.
“Pasukan kami di Itsu dengan daya inovasi mereka berjaya menggabungkan teknik urutan lama Jepun yang hampir pupus dengan teknologi terkini, ini sudah pasti akan dapat memberikan pengalaman ‘sensei’ sebenar kepada pengguna,” katanya di sini baru-baru ini.
Terdahulu beliau menyampaikan ucapan dalam majlis menandatangani perkongsian antarabangsa yang bertujuan menyambut kejayaan mereka bersama dengan para pemegang saham dan kakitangan Itsu World yang telah banyak menyumbang terhadap pembangunan syarikat. – UTUSAN ONLINE











