JERANTUT – Seorang lelaki Cina terselamat apabila keretanya terjunam ke dalam longkang besar berhampiran Taman Saujana Putra, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.00 pagi itu, Chobg Chew Hing, 50, dari Taman Pelangi, di sini tidak mengalami sebarang kecederaan namun keretanya rosak teruk.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Mazlan Hassan berkata, mangsa yang datang dari arah bandar ini menuju ke taman perubahan berkenaan.
“Kejadian berlaku ketika hujan lebat menyebabkan mangsa sukar melihat laluan sebenar ketika masuk ke simpang di sebelah kanan.
“Mangsa menyedari dia tersilap jalan dan memberhentikan keretanya di bahu jalan sebelum keluar daripada kenderaan tersebut,” katanya.
Menurutnya, kereta jenis Proton Wira itu tiba-tiba menggelongsor dan terjunam ke dalam longkang besar menyebabkan hampir seluruh kenderaan itu rosak teruk.
“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan kerana mangsa sempat keluar daripada keretanya,” ujarnya. – K! ONLINE











