PIIACUF berupaya jadi landasan penyatuan ummah - Utusan Malaysia

PIIACUF berupaya jadi landasan penyatuan ummah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 25 Julai – Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACUF) diyakini berupaya menjadi landasan kepada penyatuan ummah selain menggalakkan interaksi dalam kalangan peserta dan pengunjung.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, dengan menonjolkan seni budaya yang bercirikan Islam, PIIACUF dapat mengambil peranan untuk menangkis stigma terhadap Islam dengan penglibatan masyarakat dari pelbagai negara, ras dan latar belakang untuk menghargai kepelbagaian kesenian dan kebudayaan negara-negara Islam. 

“Mutakhir ini wujudnya istilah Islamofobia di mana Islam telah disalah anggap dan dikaitkan dengan pelbagai konotasi negatif yang menyumbang kepada persepsi buruk dan sikap prejudis masyarakat dunia terhadap Islam. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Maka, penganjuran PIIACUF ini sesungguhnya berlangsung tepat pada waktunya. Festival ini mampu menunjukkan sisi Islam yang berbeza dan sekali gus membuktikan seni dan budaya tidak pernah dipinggirkan dalam Islam. 

“Malah, seni dan budaya Islamlah yang telah membentuk peradaban dunia,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian PIIACUF 2019 di sini hari ini.

PIIACUF 2019 yang bermula hari ini hingga Ahad ini dengan tema ‘Keindahan Seni Muzik dan Vokal Islam’ menyasarkan kedatangan 350,000 pengunjung dari dalam dan luar negara. 

Festival selama empat hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam itu akan menampilkan 135 aktiviti merangkumi pameran aplikasi realiti imbuhan (AR), konsert, ekspo buku Islamik, festival kanak-kanak serta alunan azan berlainan maqam.

Dr. Wan Azizah menambah, beliau amat optimis bahawa PIIACUF akan menjadi wadah untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa antara Malaysia dan negara-negara luar terutama sekali kerajaan-kerajaan yang berteraskan Islam.

Sementara itu, beliau berkata, elemen seni dan budaya juga mampu menjana ekonomi negara malah pada tahun lalu, hasil pendapatan daripada sektor kebudayaan negara seperti pameran kesenian dan persembahan-persembahan kebudayaan telah mencecah sebanyak RM529.8 juta.

Sehubungan itu katanya, beliau yakin jumlah itu akan bertambah seiiring dengan pertambahan pengunjung ke festival seperti PIIACUF lebih-lebih lagi negara akan menganjurkan Tahun Melawat Malaysia 2020 yang menyasarkan kedatangan 30 juta pelancong antarabangsa. 

Menurutnya, PIAACUF mampu menjadi salah satu acara yang menarik pelancong luar ke negara ini dengan menambah lagi promosi dan pendedahan kepada festival tersebut.

“Di dalam konteks ini, saya amat berharap agar PIIACUF akan menjadi pemangkin kepada usaha untuk melestari serta memulihara seni dan kebudayaan terutama seni budaya Islam,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini