JOHOR BAHRU 25 Julai – Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan untuk menamakan cucunda ketiganya Tunku Abu Bakar Ibrahim Tunku Ismail.
Pengumuman itu dilakukan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli dalam satu kenyataan rasmi di sini tengah hari ini.
“Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dengan telek pandang dan limpah perkenan Tuanku dan dengan persekutuan Jumaah Majlis Diraja menamakan putera dan waris Tunku Mahkota Johor yang diputerakan pada 17 Julai 2019 di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini seperti berikut.
“Yang amat mulia Tunku Abu Bakar Ibrahim ibni Tunku Ismail,” katanya dalam kenyataan berkenaan.
Pada pukul 2 pagi, 17 Julai lalu, anak ketiga bagi pasangan Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam selamat dilahirkan dan berita itu dikongsikan mereka dalam Facebook rasmi Tunku Mahkota Johor itu. UTUSAN ONLINE











