Abdul Jalil Ketua Polis Pahang baharu - Utusan Malaysia

Abdul Jalil Ketua Polis Pahang baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 25 Julai – Timbalan Pengarah Pengurusan (Bahagian Dasar Sumber Manusia) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk  Abdul Jalil Hassan dilantik menjadi Ketua Polis Pahang yang baharu bermula hari ini menggantikan Datuk Seri Mohd. Zakaria Ahmad yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd  Yusri Hassan Basri menggalas tugas sebagai Pemangku Ketua Polis Pahang setelah kekosongan jawatan tersebut.

Majlis serah terima tugas antara Abdul Jalil dan Mohd. Yusri berlangsung di Dewan Tun Razak Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini disaksikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor.

Memuatkan artikel berkaitan…

Abdul Jalil yang mula berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia  (PDRM) pada 17 Disember 1989 berharap dapat mencipta budaya kerja cemerlang di samping penghasilan kualiti kerja  bermutu serta kondusif.

“Hampir 30 tahun berkhidmat, saya diberi peluang dan kepercayaan untuk menggalas jawatan dan tanggungjawab ini.

” Saya percaya dengan kerjasama yang diberikan oleh semua warga kerja Kontijen Pahang,mudah untuk kita mengecapi apa yang diinginkan oleh pucuk pimpinan PDRM,” katanya.

Di samping itu juga,beliau berazam akan menjadikan Pahang sebagai sebuah negeri yang selamat untuk didiami serta dilawati selaras dengan kempen Tahun Melawat Pahang 2020.

“Melihat statistik indek jenayah, Pahang merupakan antara negeri yang paling selamat di negara ini dan saya harap keamanan serta keselamatan negeri terus dipertingkat agar rakyat lebih yakin terhadap PDRM .

Sementara itu, Datin Dr. Siti Alida John Abdullah dilantik sebagai Pengerusi Perkep Kontijen Pahang menggantikan  Datin Junaidah Abdul Muti @ Asa’ari yang menggalas tugas Pemangku Pengerusi Perkep sebelum ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini