KPDNHEP rampas 150 peket gula-gula ghost smoke - Utusan Malaysia

KPDNHEP rampas 150 peket gula-gula ghost smoke

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 25 Julai – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri akan mempergiatkan operasi menyekat penjualan gula-gula ghost smoke dalam kalangan pelajar sekolah dengan mengadakan pemeriksaan berkaitan di semua rangkaian perniagaan  seluruh negeri.

Pengarahnya, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, pemantauan yang dibuat membabitkan 200 anggota penguat kuasa di seluruh negeri sejak kelmarin hingga hari ini, sebanyak 132 sudah diperiksa terutamanya di premis penjualan makanan ringan berhampiran dengan sekolah.

“Hasil pemeriksaan, pihak KPDNHEP negeri menjumpai lima kotak mengandungi 150 paket gula-gula berkenaan  dijual oleh sebuah syarikat pemborong makanan ringan di Masai.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kesemua gula-gula tersebut yang dianggarkan bernilai RM37.50 dirampas dan disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 kerana kandungan, maklumat dan logo halal yang diragui,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

BARANG rampasan 'Ghost Smoke' dalam serbuan selasa lalu di Masai selepas sidang akhbar di Menara Ans
BARANG rampasan ‘Ghost Smoke’ dalam serbuan selasa lalu di Masai selepas sidang akhbar di Menara Ansar di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE/ NUR AISYAH MAZALAN

Mohd. Hairul berkata, berdasarkan maklumat, harga jualan kepada peruncit adalah kira-kira RM7.50 sekotak dan sebelum dijual kepada pelajar sekolah RM0.50 sepeket.

Katanya, pihaknya akan menggandakan usaha bagi mengesan lebih banyak bekalan gula-gula berkenaan yang mahu dipasarkan di negeri ini.

Mohd. Hairul berkata, perkara itu berikutan pihaknya mengalami sedikit kesukaran untuk mengesan saki baki barangan terbabit yang dipercayai telah disorok rata-rata pemborong mahupun peniaga.

“Kami percaya kebanyakan daripada pihak ini sudah mula menyorokkan bekalan tersebut setelah penjualan tersebut menjadi tular. Kita juga sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai bagaimana sumber bekalan produk gula-gula itu diperolehi,” katanya.

Jika didapati bersalah, perbadanan atau syarikat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM250,000 manakala bagi individu pula denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. – UTUSAN ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini