NILAI – Mayat sepasang suami isteri dipercayai dibunuh ditemui dalam sebuah rumah teres dua tingkat terbakar di Taman Desa Melati di sini malam tadi.
Kedua-dua mayat itu ditemui oleh sepasukan anggota bomba yang ditugaskan memadamkan kebakaran rumah tersebut kira-kira pukul 9.30 malam.
Mangsa ialah bekas jurutera sebuah syarikat swasta, Tan Kim Joo, 73, dan bekas guru Sekolah Jenis kebangsaan Cina (SJKC) di Labu, Ng Chong Hwa, 67.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, pihak bomba menemui mayat lelaki itu di bahagian dapur rumah dalam keadaan tertiarap di lantai.
“Mayat wanita pula ditemui di bahagian stor di sebelah kiri dapur dalam keadaan tersandar berdekatan almari kayu. Pihak bomba melihat mangsa mempunyai kesan tikaman pada bahagian dada dan kesan luka di lengan tangan kiri.
“Apabila bomba melihat mangsa mempunyai kesan luka disyaki ada unsur jenayah, mayat mangsa tidak dialihkan dan tidak dibawa keluar sebelum memaklumkan pihak polis,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Nor Marzukee berkata, siasatan polis mendapati mayat mangsa ketika ditemui pihak bomba berpakaian t-shirt warna biru dan memakai seluar pendek warna hitam.
Menurut beliau, mangsa wanita pula ditemui dalam keadaan memakai baju tidur warna merah.
Tambah beliau, pemeriksaan lanjut polis di ruang dapur mendapati terdapat kesan darah di lantai dan di lantai bahagian stor rumah.
Selain itu, kata beliau, polis menemui dua kotak mancis cap lada di hadapan pintu masuk stor tersebut.
“Siasatan awal polis mendapati terdapat kesan luka di pergelangan tangan kiri, cedera di dahi kanan dan kesan luka di lengan bawah tangan kanan pada mayat lelaki.
“Terdapat kesan luka tikaman pada dada serta kesan luka di lengan tangan kiri mayat wanita dan kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Jelas beliau, siasatan awal polis mendapati pasangan suami isteri itu tinggal berdua di rumah itu sejak 10 tahun lalu.
Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan dalam satu kenyataan memaklumkan dua mayat itu ditemui oleh anggota bomba yang terlibat dalam operasi memadam kebakaran rumah tersebut.
Menurut kenyataan itu, pasukan bomba mendapati pintu dapur rumah teres dua tingkat berkenaan tidak berkunci semasa tiba di lokasi kejadian pada pukul 9.30 malam.
Jelas kenyataan itu, semasa operasi pemadaman dilakukan di bahagian dapur rumah menemui satu mayat lelaki dalam keadaan meniarap di lantai.
Tambah kenyataan itu, pasukan bomba seterusnya menemui satu mayat wanita di ruang stor bahagian dapur lalu memaklumkan pihak polis berhubung penemuan tersebut. – K! ONLINE











