KONSERT Dayang Nurfaizah 20th Anniversary yang berlangsung di Panggung Sari Istana Budaya pada hujung minggu lalu umpama mengupas satu lagi sisi personaliti menarik pemilik nama sebenar, Dayang Nurfaizah Awang Dowty itu.
Dayang sangat selesa beraksi di atas pentas bukan sahaja dalam perihal melontarkan listrik vokalnya yang membuat ramai terpaku, dia juga bijak berkata-kata serta mengusik para penonton yang hadir persembahan yang berdurasi hampir dua jam berkenaan.
Kata anak seni kelahiran Kuching, Sarawak itu, seni komunikasi semula jadi yang ditonjolkan pada persembahan itu adalah hasil dirinya banyak mendiamkan diri di belakang pentas.
“Apa yang saya buat adalah mendiamkan diri di belakang pentas. Saya takut kalau bercakap banyak akan hilang fokus dan terleka,” kata pemegang trofi Vokal Terbaik tiga kali berturut-turut Anugerah Juara Lagu (AJL) itu.
Mengulas lanjut apa yang membuatkan dirinya begitu selesa beraksi di atas pentas konsert anjuran Shiraz Projects itu, Dayang berkata, walaupun gemuruh dalam hatinya bergejolak, pada masa yang sama, dia ingin melakukan yang terbaik buat peminat yang setia berada di sampingnya sejak dua dasawarsa lalu.
Relaks berinteraksi
“Saya sebenarnya gemuruh. Saya tahu peminat datang mengharapkan yang terbaik bukan sahaja dari sudut persembahan tetapi aspek-aspek lain seperti interaksi.
“Gemuruh semakin berkurangan kerana penonton yang duduk di barisan hadapan adalah wajah mereka yang sudah selalu saya tengok. Disebabkan itu, saya relaks sahaja apabila berinteraksi dengan penonton,” ujarnya.
Dalam banyak segmen persembahan, momen Dayang menyanyikan lagu-lagu klasik menonjolkan personaliti cheeky dan bersahaja iaitu medley empat lagu Sejak Ku Bertemu Pada Mu dendangan asal Sanisah Huri, Jangan Tenung Tenung (Nona Asiah dan Zaleha Hamid), Jalan Bersama (Saloma) dan Bunga Anggerik (Latifah Omar), antara yang mencuri tumpuan.
Tutur Dayang memberi alasan menyanyikan medley empat lagu klasik berkenaan, dia tidak pernah menyanyikan lagu-lagu tersebut dalam mana-mana persembahan sebelum ini.
“Setiap kali ada peluang, saya akan selitkan lagu klasik. Saya tidak pernah menyanyikan lagu tersebut dalam mana-mana persembahan sebelum ini. Kiranya, inilah pertama kali saya menyanyikan lagu klasik itu depan peminat.
“Apa salahnya sesekali saya mengada-ngada di atas pentas. Kalau boleh dalam setiap persembahan saya cuba untuk selitkan segmen sebegini,” terangnya yang tidak menolak kemungkinan untuk menyanyikan lagu berentak asli yang menjadi tagihan segelintir peminat untuk konsert berikutnya.
Dua dekad masih relevan dalam industri, Dayang merupakan seorang penyanyi yang tidak memerlukan ‘bantuan’ gosip liar untuk namanya kekal meniti di bibir peminat.
Apa yang dihidangkannya kepada industri bukan pengikut laman sosial yang berjuta-juta atau kontroversi, cukup buat wanita berkulit hitam manis ini menjual bakat nyanyian luar biasanya yang tiada tandingan dan masih ditagih sejak seawal usia 16 tahun bergelar artis rakaman.
Disuakan pertanyaan apa yang dingin dicapainya selepas dua dekad, jawab Dayang merendah diri: “Saya rasa banyak benda yang masih perlu saya tempuhi. Mungkin kongsi dengan peminat lagu atau album yang lain daripada lain. Seperti lagu Sebentar yang saya lancarkan baru-baru ini.
“Bunyi sebegitu. Apa yang peminat belum dengar daripada saya, akan saya berikan.”
Jaguh di pentas
Bercakap tentang aspek kualiti persembahan Dayang pada malam persembahan, biarpun disifatkan vokalis wanita yang graf kerjayanya mendatar kerana ketiadaan kisah-kisah kontroversi, tidak boleh dinafikan dialah jaguh di gelanggangnya.
Anggun menggayakan empat persalinan busana sentuhan pereka fesyen terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim, rata-rata peminat setia siri persembahan atau konsert wanita berusia 38 tahun itu mengakui, pemilihan lagu konsert kali ini paling strategik dan bertepatan dengan selera.
Sebelum tirai dibuka dengan lagu Tak Pernah Menyerah, panggung terlebih dahulu digamatkan dengan jeritan dan panggilan nama Dayang. Suasana semakin melonjakkan adrenalin apabila Dayang melantunkan lagu yang memperkenalkan namanya di persada seni tempatan iaitu Seandainya Masih Ada Cinta sebelum meneruskan kemaraan persembahan dengan lagu Mana Mungkin.
Konsert Dayang Nurfaizah 20th Anniversary menjadi saksi wanita itu melaungkan semula satu-satunya lagu etnik kreatifnya yang bukan sahaja lazim di bibir peminat bahkan memecah tanggapan klise ramai bahawa dia hanya hebat di gelanggang balada dan R&B.
Pesona persembahan terisi dengan material AJLnya, Erti Hidup yang pernah dijulang sebagai Lagu Terbaik Etnik Kreatif pada AJL19 sekitar 2004.
Memuncakkan kehangatan, Dayang menyanyikan lagu popularnya yang lain seperti Sedingin Mana Cinta Mu, Separuh Mati Ku Bercinta, medley lagu rancak (Bahagia, Ingin Ku Miliki dan Sayang) sebelum membuat penonton larut dengan vokal merdu menerusi lagu awal kemunculannya dalam industri berjudul Kembalillah Sayang.
Lagi Medley, Dayang menghiburkan peminat dengan tiga lagu iaitu Coretan Cinta, Kasih Maafkan dan Andai Ku Tahu sebelum terus membuatkan ramai terpesona menerusi Pejamkan Mata, Hakikat Cinta dan antara lagu berhantunya, Pintaku Terakhir.
Pada malam itu, seperti dapat dihidu segelintir peminat, Dayang melunaskan persembahan lagu Haram dengan rakan duetnya, Hael Husaini. Segmen lagu klasik berlalu, Dayang kemudian menyanyikan Layarlah Kembali serta single terbaharunya, Sebentar dan Di Pintu Syurga. Menariknya, walaupun Sebentar baru dilancarkan, ramai penonton sudah boleh menyanyi bersama Dayang.
Seperti biasa, biarpun Dayang sudah melambaikan tangan mengucapkan selamat tinggal, penonton terus melaungkan namanya seperti belum terlunas ‘hutang persembahan’. Menepati ramalan, Dayang kembali meriuhkan meneruskan baki persembahan dengan dua lagu terakhirnya, Lelaki Teragung dan Dayang Sayang Kamu menerusi segmen encore.
Untuk Dayang dan pasukan, syabas atas sebuah persembahan mengagumkan serta selamat maju jaya menuju ke persembahan berikutnya di The Theatre At Mediacorp, Singapura 28 Disember depan.
Sungguh, Dayang adalah bukti konkrit terutama buat penyanyi generasi masa sekarang bahawa pasti ada yang boleh kekal relevan dalam industri untuk tempoh panjang tanpa bergantung terhadap siri kontroversi, sebaliknya fokus terhadap yang utama, iaitu bakat.
Dayang Nurfaizah membuktikan dirinya kekal unggul dan relevan biarpun selepas dua dekad dalam industri menerusi sukses penganjuran konsert Dayang Nurfaizah 20th Anniversary yang berlangsung di Istana Budaya hujung minggu lalu.











