PENDAKWAH selebriti, PU Riz enggan menoleh ke belakang selepas berdepan dengan kontroversi penularan gambar hujung Jun lalu.
Riz mahu melupakan dan memadamkan semua perkara yang sudah berlalu dan kini memikirkan untuk memberi sepenuh perhatian terhadap karier lakonan dan dakwahnya.
Pemilik nama sebenar Muhammad Haris Ismail, 24, itu bahkan sedang berjinak-jinak dengan dunia usahawan menerusi perniagaan Restoran Food Station yang diusahakan sejak lapan bulan lalu.
Ikuti temu bual bersama bekas peserta program Pencetus Umrah (PU) musim keempat itu ketika ditemui pada sesi santai bersama media di restorannya baru-baru ini.
KOSMO!: Boleh Riz ceritakan lanjut tentang perniagaan yang sedang dijalankan kini?
RIZ ISMAIL: Restoran ini mula beroperasi sejak lapan bulan lalu. Alhamdulillah, setakat ke hari ini, respons yang diterima daripada pelanggan sangat baik. Restoran ini menawarkan lebih 500 aneka lauk-pauk terdiri daripada masakan Melayu, Barat, India, Arab dan Thailand. Lebih menarik, selain menawarkan hidangan terbaik untuk pelanggan, kami juga ada menyediakan sesi ceramah secara percuma. Setakat ini, saya merancang mengadakan program itu sebulan sekali. Sebelum ini sudah beberapa kali program tersebut dijalankan. Selepas ini saya akan menjemput pendakwah lain pula untuk menyampaikan ceramah.
Mengapa anda memilih untuk menceburkan diri dalam perniagaan makanan?
Saya menceburi perniagaan makanan kerana mengikut jejak langkah bapa. Dalam hidup, kita perlu lakukan sesuatu yang dapat menjamin masa depan. Di samping berlakon dan berdakwah, setidak-tidaknya saya ada pendapatan tetap setiap bulan. Lebih-lebih lagi saya melihat dunia perniagaan makanan boleh dikembangkan dengan baik. Namun pada masa sama, dunia seni tetap berjalan seperti biasa.
Selain berlakon dan berniaga, anda juga bergelar seorang pelajar. Jadi bagaimana anda membahagikan masa untuk tiga perkara komitmen tersebut?
Seperti yang pernah dikatakan dahulu, saya sambung belajar kerana memenuhi tuntutan ibu. Saya masuk ke dunia seni pun atas restunya juga. Saya selalu percaya, kalau ikut kata ibu, semuanya akan berjalan dengan lancar. Insya-Allah, pengajian saya hanya berbaki setahun lagi. Jika selepas ini, ibu mahu saya sambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, mungkin saya perlu fikir dua lagi. Kalau diikutkan ketika sedang belajar, banyak tawaran berlakon datang. Tetapi saya kena pilih yang mana lebih utama agar tidak mengganggu jadual kuliah.
Bercakap soal ibu, apa pandangan anda tentang istilah anak emak memandangkan anda akan mengutamakan ibu dalam apa jua hal?
Sepanjang hidup, apabila saya mendengar kata ibu, banyak benda menjadi dengan baik. Kalau mahu ulas isu anak emak, saya tidak mahu komen lanjut. Cuma secara peribadi, saya akan sayang ibu sebab dia adalah nombor satu. Untuk lelaki, ibu adalah keutamaan. Sementara bagi kaum wanita pula adalah suami. Bagi saya, cubalah sedaya upaya untuk hidupkan suasana agama dalam hidup berkeluarga. Insya-Allah semuanya akan harmoni.
Bagaimana dengan perkembangan terkini karier anda?
Insya-Allah, filem sulung lakonan saya berjudul Ada Apa Dengan Dosa terbitan Pencil Pictures akan menemui penonton pada awal tahun depan. Sejujurnya, saya sangat gementar dan pada masa sama teruja menantikan tayangan nanti kerana filem itu berbeza daripada naskhah sedia ada dalam pasaran.
Apakah cabaran yang anda lalui sepanjang menjalani penggambaran filem tersebut?
Cabarannya banyak, terutama dari segi masa namun pengalaman berlakon filem mematangkan diri saya dalam dunia lakonan. Biarpun ada juga babak romantis seperti bertentang mata dengan pelakon wanita, tetapi saya cuba tunjukkan bagaimana cara melakukannya menurut agama. Insya-Allah, ada banyak pengajaran yang boleh penonton serap dapat menerusi filem itu nanti.











