NEW YORK – Rekod baharu dunia untuk sepasang kasut sneaker dicatat dalam satu acara lelongan kelmarin apabila seorang ahli perniagaan Kanada membayar AS$437,500 (RM1.8 juta) untuk membeli kasut ‘Moon Shoe’ keluaran tahun 1972, kata firma lelongan Sotheby’s.
Jualan tersebut memecahkan rekod sebelum ini berjumlah AS$190,373 (RM783,863), dibayar pada tahun 2017 untuk sepasang kasut Converse yang dipakai oleh Michael Jordan pada perlawanan akhir bola keranjang Olimpik, kata firma lelongan berpangkalan di New York itu dalam satu kenyataan.
“Harga yang dibayar juga jauh lebih tinggi daripada harga anggaran berjumlah AS$160,000 (RM658,802),” tambah Sotheby’s.
Pengumpul dari Kanada, Miles Nadal, 61, merupakan pembida yang berjaya dalam lelongan online tersebut. Pada minggu lalu, Nadal membeli sebanyak 99 pasang kasut yang jarang didapati dalam satu jualan persendirian pada harga pukal AS$850,000 (RM3.4 juta).
“Saya teruja untuk memiliki jenama ikonik, Nike ‘Moon Shoe’ yang merupakan antara kasut paling jarang dikeluarkan,” kata Nadal.
Pengasas bersama Nike, Bill Bowerman mereka bentuk kasut rata ‘Moon Shoe’ yang hasilkan untuk pelari semasa pra-Olimpik tahun 1972.
Sotheby’s menyatakan, kira-kira 12 pasang kasut itu pernah dihasilkan, manakala kasut yang dijual kelmarin adalah salah satu daripada sebilangan kecil ‘Moon Shoe’ yang diketahui masih wujud. – AFP











