JERANTUT – Tiga laluan utama di daerah ini tergendala seketika akibat pokok tumbang di atas jalan raya ekoran ribut yang melanda beberapa kawasan petang tadi.
Kawasan yang terlibat adalah Jalan Pulau Tawar-Bukit Nikmat berhampiran Makam Mat Kilau, Jalan Jerantut-Benta di Kampung Lata Kasah dan Kilometer 1 Jalan Jerantut-Maran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut, Mohamad Zullkifli Mohamad Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 5.55 petang mengenai sebatang pokok tumbang di Kilometer 1 Jalan Jerantut-Maran.
“Sebatang pokok telah tumbang di atas jalan raya menghala ke bandar Jerantut dan pihak kami telah menjalankan kerja-kerja pembersihan agar laluan boleh dilalui semula.
“Laluan itu terpaksa ditutup sementara waktu dan tidak ada mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya.
Menurutnya, sebatang pokok turut tumbang di Kampung Lata Kasah, di sini kira-kira pukul 7.12 malam.
“Seramai tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian dan turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Damak dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kedondong, Pulau Tawar, Mohd Rozi Rozuki memberitahu, sebatang pokok tumbang berhampiran Makam Mat Kilau.
“Kejadian berlaku kira-kira pukul 5.50 petang dan penduduk kampung melakukan gotong-royong memotong batang pokok besar itu bagi membolehkan kenderaan melalui kawasan tersebut dengan selamat,” jelasnya. – K! ONLINE











