SHANGHAI – Pemain tengah Tottenham Hotspur, Dele Alli menggesa rakan sepasukan agar menjadikan kekecewaan pada aksi final Liga Juara-Juara musim lalu sebagai pembakar semangat menjelang kempen 2019/20.
Meskipun ia sudah berlalu, namun pemain antarabangsa England itu mengakui dia dan rakan sepasukan masih dibayangi kekecewaan apabila tewas kepada Liverpool pada perlawanan tersebut.
“Kami perlu jadikan ‘luka’ itu sebagai pembakar semangat menjelang musim baharu nanti. Tidak dinafikan kekalahan itu sangat menyakitkan dan kami masih merasainya hingga ke hari ini.
“Saya akui kami mengharungi kempen yang cukup baik sepanjang musim lalu tetapi gagal memenangi Liga Juara-Juara, amat mengecewakan kami. Saya harap ia mampu meningkatkan motivasi pemain-pemain Spurs,” kata Alli.
Pada masa sama, pemain berusia 23 tahun itu berharap dia mampu kekal cergas bagi kempen 2019/20 nanti memandangkan dia banyak menghabiskan masa di pusat pemulihan kecederaan sepanjang musim lalu.
“Saya tahu musim lalu sangat sukar untuk saya kerana sering mengalami kecederaan. Keadaan itu bukan sahaja memberi kesan terhadap fizikal, malah mental saya. Saya akan cuba pastikan ia tidak berulang.
“Esok (hari ini) kami akan bertemu Manchester United dalam aksi persahabatan dan ia sesuatu yang bagus kerana kami sentiasa mahu mencabar pasukan-pasukan besar. Meskipun hanya persahabatan, namun kami akan tampilkan aksi terbaik,” ujarnya. – Agensi











