#Undi18: Kemenangan buat golongan muda - Utusan Malaysia

#Undi18: Kemenangan buat golongan muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS dibahaskan 59 ahli Parlimen selama kira-kira enam jam, sejarah terlakar di Dewan Rakyat apabila Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 disokong kesemua 211 ahli Parlimen yang hadir. Lebih daripada hanya memperoleh ⅔ undi majoriti, kejayaan berkonsensus secara bi-partisan itu turut dijadikan sebagai penanda aras ke arah proses berpolitik yang lebih matang.

RUU yang dibentang Tun Dr. Mahathir itu telah mengusulkan tiga pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan. Pindaan kepada Perkara 119(1)(a) dan Perkara 119(4)(b) telah membolehkan mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas untuk didaftarkan secara automatik sebagai pengundi. Menjelang PRK-15 pada 2023, seramai 7.8 juta pengundi baru akan didaftar – lebih 50% daripada pengundi berdaftar sekitar PRK-14.

Menerusi pindaan kepada Perkara 47(b) dan Seksyen 5 Jadual Ke-8 Perlembagaan Persekutuan, mereka yang berumur 18 tahun ke atas juga akan diberikan hak untuk mencorak kepimpinan negara, baik sebagai ahli Parlimen ataupun sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri. Kini, golongan muda tidak lagi hanya dimainkan dengan pentas “Parlimen Belia”, apabila mereka yang berkelayakan sudah boleh dipilih untuk membawa suara rakyat ke persada legislatif.

Memuatkan artikel berkaitan…
QYIRA YUSRI (tengah) dan Tharma Pillai (kiri) adalah antara penggerak
QYIRA YUSRI (tengah) dan Tharma Pillai (kiri) adalah antara penggerak terawal gerakan #Undi18. – TWITTER TAKTERQYIRA 

PERUBAHAN YANG DIBAWA

Walaupun pindaan ini bersifat progresif dan merupakan keputusan sebulat suara Dewan Rakyat, masih ramai dalam kalangan rakyat yang berbelah bahagi akan ketersediaan golongan muda lingkungan 18 ke 21 tahun. Belia dalam lingkungan umur ini dikatakan sebagai golongan yang tidak matang, mudah terpengaruh dan tidak cukup berpengalaman untuk mengundi dan apatah lagi memegang kerusi politik.

Penulis berpendapat bahawa usaha-usaha untuk menyokong RUU ini tidaklah bertujuan untuk menafikan kebenaran yang ada. Namun begitu, persoalan yang lebih besar adalah sama ada kita sudah bersedia untuk menambah baik kekurangan ekosistem pembangunan minda anak muda – dan usaha ini melibatkan banyak pihak, termasuklah ibu bapa dan saudara mara yang terlalu mudah memperlekeh potensi golongan muda dalam membuat pilihan rasional.

RUU ini secara tidak langsung mendemokrasikan hak untuk memilih kepada golongan yang telahpun dinilai sebagai seorang dewasa dari kaca mata Akta Umur Dewasa 1971. Ini selari dengan undang-undang lain yang sedia ada dalam membolehkan mereka yang berumur 18 tahun untuk berkahwin, berkhidmat sebagai polis dan askar, mempunyai milikan syarikat dan harta tanah, serta dipertanggungjawabkan atas kes jenayah bukan juvana.

Dalam usaha untuk mengisi ruang-ruang kepimpinan belia, Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq juga telah sebelumnya membawa usul pindaan kepada Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 untuk mendefinisikan semula ‘belia’ sebagai mereka yang berumur 15 hingga 30 tahun, selain daripada mewajibkan organisasi-organisasi belia dipimpin mereka yang untuk berumur kurang daripada 30 tahun.

Usul yang kemudiannya diluluskan ini telah secara tidak langsung mengambil semula hak kepimpinan belia daripada pimpinan ‘terlebih ‘senior’, yang rata-ratanya sudah tidak relevan lagi dengan kehendak dan perkembangan akar umbi belia.

KEMENANGAN BESAR AKAR UMBI

Gerakan untuk lebih merakyatkan kuasa mengundi itu sebenarnya bukan perkara baru dalam arena politik nasional. Sejak seawal tahun 1971, YB Lim Kit Siang pernah mengusul untuk satu jawatankuasa bi-partisan diwujudkan bagi mengkaji penurunan had umur pengundi kepada 18 tahun – tanpa apa-apa tindakan susulan daripada pihak kerajaan pada waktu itu.

Siapa sangka empat dekad kemudian, gerakan politik sekitar pemilihan calon Parti Demokrat untuk pilihan raya Presiden Amerika Syarikat 2016 telah menimbulkan keghairahan dua pelajar Malaysia di Amerika Syarikat, Qyira Yusri dan Tharma Pillai, untuk melihat kematangan politik yang sama di Malaysia, terutamanya dalam kalangan golongan muda.

Walaupun aktivisme mereka pada mulanya terhad dalam rangkaian pelajar-pelajar universiti Malaysia di luar negara, gerakan Undi18 yang diasaskan terus aktif menimbulkan kesedaran awam sekembalinya mereka di Malaysia. Qyira dan Tharma telah secara tidak langsung menghidupkan semula perbincangan relevansi had umur 21 dalam berpolitik.

Dalam masa yang sama, inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pimpinan YB Khairy Jamaluddin mula mendekati golongan muda menerusi konsep townhall TN50, yang turut dihadiri Qyira sendiri. Ketika ditanya, Qyira dapat mengenang kembali kekecewaan beliau apabila gagasan yang dibawa #Undi18 tidak disertakan dalam senarai akhir dasar TN50, walaupun setelah secara langsung menimbulkan kepentingan ini menerusi sesi terbuka TN50 dan surat rasmi kepada KBS.

Menariknya, suara yang dibawa Qyira, Tharma dan tidak kurang daripada 20 sukarelawan Undi18 ini telah menarik perhatian personaliti-personaliti politik muda pembangkang pada ketika itu, seperti YB Syed Saddiq, YB Nik Nazmi dan YB Fahmi Fadzil, yang kemudiannya terlibat dalam melibatkan #Undi18 sebagai sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan.

KUASA POLITIK GOLONGAN MUDA

Menerusi YB Syed Saddiq yang kini memegang tampuk pimpinan KBS, Menteri yang berumur sebaya dengan pengasas #Undi18 itu telah memudahkan perbincangan dalam menggerakkan aspirasi yang dibawa #Undi18 ke Dewan Rakyat.

Usaha-usaha Menteri untuk melobi sokongan tambahan pihak pembangkang juga giat dijayakan dengan bantuan pegawai-pegawai politik Menteri, yang rata-ratanya masih berumur 20-an dan turut berkongsi idealisme #Undi18 dalam membawa perubahan struktural menerusi KBS.

Perkongsian pandangan dan pengalaman aktivis-aktivis #Undi18 dan pegawai-pegawai politik KBS yang kerap di media sosial juga telah mendorong kepada satu euphoria dalam kalangan golongan muda bahawa mereka juga mampu membawa perubahan berskala besar, lebih-lebih lagi apabila ahli-ahli Parlimen yang sebelum ini dianggap sebagai tidak mesra golongan muda sudah mula dilihat berbincang dan mendengar hujahan #Undi18 yang dibawa Menteri.

Bahkan, apabila salah seorang ahli Parlimen yang juga merupakan seorang bekas Menteri ditanyakan posisi undian yang bakal didokong parti terbesar Sarawak itu, beliau hanya dapat berkata: apa lagi pilihan lain yang kami ada?

Semestinya sukar untuk ahli Parlimen tersebut menjelaskan kepada puluhan ribu golongan muda yang rapat mengikuti perkembangan #Undi18 di Instagram, Twitter dan Facebook sekiranya RUU ini digagalkan oleh ahli-ahli Parlimen blok pembangkang tanpa alasan yang munasabah.

ANJAKAN PARADIGMA

Dengan adanya dasar pengundi yang lebih luas, golongan muda akan mempunyai suara politik yang lebih berkesan. Cabaran seterusnya adalah dalam memastikan kualiti pendidikan dan pemikiran kritis dapat mengejar tahap kematangan politik yang diharapkan.

Walaupun begitu, masih terdapat ruang untuk golongan muda lebih terlibat dalam proses berpolitik, seperti posisi Senator di Dewan Negara yang masih memerlukan calon berumur sekurang-kurangnya 30 tahun. Suruhanjaya Pilihan Raya juga perlu bersedia untuk menyelaraskan sistem pendaftaran pengundi secara automatik yang efisien, teratur dan tidak menimbulkan curiga.

Perbincangan yang berterusan adalah perlu agar usaha #Undi18 tidak terhenti di sini. Pengalaman yang ditimba daripada proses meluluskan RUU perlu dijadikan sebagai batu loncatan kepada golongan muda lain agar lebih ramai yang berkelayakan dapat menonjolkan diri dalam membawa perspektif belia dalam proses bina negara.

PENULIS ialah peguambela
dan peguamcara dan sarjana Fulbright ke Amerika Syarikat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini