MALANG 24 Julai – Empat daripada enam beradik rentung dalam kejadian kebakaran yang menyayat hati di sebuah rumah sewa di Desa Junrejo, Kota Batu, Jawa Timur.
Dalam kejadian malam semalam, mangsa yang terbunuh adalah Rahma Ramadhani, 10; Na’illah Fathinah Sholihah, 9; Anisa Dzahro, 7; dan Naufal Nasrulloh, 6.
Lapor Kompas.com, jiran mangsa yang merupakan saksi kebakaran, Hamidah, 29, berkata, dia menyedari kebakaran tersebut selepas terdengar bunyi jeritan sekitar pukul 9.50 malam.
Apabila keluar dari rumah, dia mendapati jirannya, Lina yang tinggal bersama suami, Abdullah dan enam orang anak sedang menjerit meminta tolong.
“Api ketika itu sudah sampai ke bumbung rumah mangsa lantas saya bersama suami mengambil peralatan untuk cuba memadamkannya.
“Saya juga melihat Abdullah dapat keluar dari rumah sambil mendukung dua anaknya, Fabiah dan Aida,” katanya.
Ketua polis Junrenjo, Supriyanto memberitahu, tiga mayat beradik itu ditemukan dalam bilik sama manakala satu lagi mayat di bilik belakang. – AGENSI











