Kegiatan pembalakan, perlombongan dipastikan patuhi peraturan - Utusan Malaysia

Kegiatan pembalakan, perlombongan dipastikan patuhi peraturan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS 24 Julai – Kerajaan negeri meminta orang ramai tidak membuat kesimpulan awal dengan mendakwa kegiatan pembalakan dan perlombongan yang dijalankan di sekitar Bukit Besi, Dungun menjadi punca harimau dikesan berkeliaran di kawasan kampung berhampiran.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ketika ini pihak berkuasa yang terlibat sedang melakukan siasatan berhubung perkara itu dan hasil laporannya kelak akan menentukan langkah seterusnya yang bakal diambil kerajaan negeri.

“Sesiapa sahaja boleh membuat dakwaan, tetapi (kenyataan) yang benar haruslah melalui penyiasatan pihak berkuasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kerajaan negeri sangat mengambil berat isu pembalakan dan perlombongan, sekali pun tiada kejadian harimau terlepas atau tidak, kegiatan pembalakan dan perlombongan akan dipastikan mematuhi kriteria dan peraturan ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Tok Jembal di sini hari ini.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk A. Rahman Yahya dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak.

Dalam kejadian Khamis lalu, penduduk di Kampung Besol Lama di Bukit Besi di sini gempar apabila seekor harimau belang berkeliaran di kawasan kediaman mereka sejak pagi sebelum ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) keesokannya.

Harimau yang digelar Awang Besol itu bagaimanapun disahkan mati pada pukul 5.30 pagi semalam kerana positif virus jenis ‘Canin Distemper’, iaitu penyakit yang mudah menyerang haiwan domestik seperti anjing atau lain-lain hidupan liar termasuk spesis harimau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini