PASIR MAS 24 Julai – Aktiviti pengedaran dadah oleh tiga beranak dari Thailand yang berselindung di sebalik kemewahan akhirnya terbongkar apabila mereka dicekup polis dalam serbuan di sebuah banglo di Kampung Banggol Jering, Apam di sini pagi tadi.
Dalam serbuan pukul 2 pagi itu sejumlah wang tunai RM151,000 turut dirampas bersama sepucuk pistol dan 47 butir peluru hidup serta syabu seberat 0.5 gram dan 16 biji pil Erimin 5.
Ketua Polis Daerah, Pasir Mas Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, tiga beranak terbabit merupakan pasangan suami isteri masing-masing berusia 39 dan 37 tahun serta anak lelaki mereka berusia 18 tahun.
Katanya, mereka menggunakan modus operandi kereta mewah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan mengaku sudah terlibat dengan pengedaran dadah jenis ganja sejak awal tahun ini.
“Dia mendapatkan dadah di Thailand dan menghantar ke Kuala Lumpur sekitar sekali atau dua kali seminggu,” katanya.
Tambah beliau, mereka bertiga direman enam hari bermula semalam.
“Saringan air kencing mendapati lelaki tersebut positif dadah jenis Methamphetamine selain mempunyai rekod jenayah lampau berkait bahan terlarang itu.
“Isteri dan anaknya pula didapati negatif,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











