KUALA LUMLUR – Ketua jurulatih skuad bawah 19 tahun (B-19) negara, Brad Maloney menjelaskan masih banyak perkara perlu diperbaiki barisan pemainnya selepas seri terikat 2-2 ketika berdepan Selangor United di Wisma FAM, Kelana Jaya sebentar tadi.
Ia merupakan aksi pertama pasukan di bawah kendalian Maloney untuk persiapan kejuaraan Piala AFF B-19 2019 selepas diundi dalam Kumpulan B bersama-sama pasukan tuan rumah, Vietnam serta Singapura, Kemboja, Australia dan Thailand yang akan berlangsung bermula 6 hingga 19 Ogos depan.
“Untuk aksi pertama kali ini saya tidak terlalu menitikberatkan keputusan sebaliknya ingin melihat cara pemain beraksi sebagai satu pasukan.
“Sudah pasti banyak perkara yang perlu dilakukan serta diperbaiki kerana ia masih terlalu awal dan mereka juga baru beraksi bersama.
“Dari sini saya melihat ada beberapa pemain yang menunjukkan mereka berhak berada dalam skuad akhir, namun peluang kepada semua pemain masih terbuka luas kerana kami belum membuat sebarang keputusan,” katanya selepas tamat perlawanan.
Dalam aksi tersebut, Selangor United terlebih dahulu didepan menerusi jaringan Diniz Irwan pada minit ke-34 sebelum Luqman Hakim Shamsuddin kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-73 perlawanan.
Ketika skuad B-19 berada diambang kemenangan menerusi gol kedua pada minit ke-88 hasil sentuhan Muslihuddin Atiq Mat Zahid, namun mereka telah dihukum dengan jaringan penyamaan seminit kemudian menerusi rembatan jarak jauh Raslam Khan Rashid. – K! ONLINE











