Negara melakar sejarah apabila Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah satu-satunya Sultan yang ditabal menjadi Ketua Utama Negara, Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali.
Kali pertama ditabalkan Yang di-Pertuan Agong ke-5 pada 21 September 1970 hingga 20 September 1975 ketika baginda berusia 43 tahun dan menjadi Yang di-Pertuan Agong kedua termuda dilantik selepas Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang dilantik ketika berumur 40 tahun.
Pada 13 Disember 2011, Tuanku Abdul Halim ditabal kali kedua sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 dan menerima pengiktirafan dari Malaysia Book Of Records pada 2012.

Muka depan akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 21 Februari 1971 memuatkan berita utama bertajuk ‘Ikrar tugas Seri Paduka Baginda’ melaporkan, Tuanku Abdul Halim, 43, selamat ditabalkan menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-5 apabila baginda mengucup keris kerajaan pada pukul 11.09 minit pagi dalam upacara Istiadat Kebesaran Raja-Raja Melayu.
Tuanku Abdul Halim berharap kerjasama daripada Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Gabenor, Yang di-Pertua Negara dan Perdana Menteri supaya mentadbir negara yang dikasihi ini serta mencapai cita-cita untuk meningkatkan lagi taraf hidup dan kemakmuran rakyat jelata.
Pada 12 April 2012, Muka depan akhbar Utusan Malaysia menyiarkan berita bertajuk ‘Daulat Tuanku’ yang melaporkan Tuanku Abdul Halim kali kedua dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong.
PEMILIHAN YANG DI-PERTUAN AGONG
Memetik buku bertajuk “Payung Negara Daulat Sepanjang Zaman” terbitan Kementerian Komunikasi Dan Multimedia dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia menyatakan, pemilihan Yang di-Pertuan Agong dibuat melalui undian sulit antara sembilan orang Raja-Raja Melayu.
Buku itu memetik, apabila seorang raja ditawarkan menjadi Yang di-Pertuan Agong menerima tawaran tersebut, Majlis Raja-Raja Melayu akan mengisytiharkan baginda dipilih menjadi Yang Dipertuan Agong dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan memberitahu keputusan pemilihan itu secara bertulis kepada kedua-dua Dewan Parlimen iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat.
Pada asasnya, setiap Raja layak menjadi Yang di-Pertuan Agong. Namun begitu terdapat beberapa keadaan yang boleh menyebabkan seorang Raja tidak dipilih. Antara sebab-sebabnya termasuklah belum dewasa, tidak berhasrat untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong dan lain-lain sebab berkaitan dalam tatacara dan urusan pelantikan Yang Dipertuan Agong.
KETUA UTAMA NEGARA
Pertabalan Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-5, baginda menyaksikan peralihan kuasa Perdana Menteri pertama yang juga ayahanda saudara baginda, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj kepada Tun Abdul Razak.
Tuanku Abdul Halim merupakan Sultan Kedah yang ke-28 dan memerintah selama 59 tahun sejak dilantik pada 1958 dan diiktiraf Sultan yang kedua paling lama berkuasa di dunia selepas Ratu Elizabeth II dari United Kingdom.
PENDIDIKAN
Tuanku Abdul Halim mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Titi Gajah sebelum menyambung pelajaran baginda di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah.
Minat baginda yang mendalam terhadap bidang ilmu dan pendidikan telah mendorong baginda berangkat ke United Kingdom bagi menyambung pelajaran di Wadham College, Oxford, London pada awal 1952 dalam jurusan Sains Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam. Sewaktu di United Kingdom, baginda telah dilantik sebagai Raja Muda Negeri Kedah pada 6 Ogos 1949.
Sekembalinya Tuanku Abdul Halim tanah air setelah menamatkan pengajian di luar negara pada 1955, baginda telah berkhidmat di Pejabat Daerah Alor Setar dan kemudiannya di Perbendaharaan Negeri Kedah.
Pada 9 Mac 1957, Baginda dilantik menjadi Pemangku Sultan Kedah sewaktu ayahanda baginda, Sultan Badlishah berangkat ke luar negara pada 12 Mac hingga 3 Julai 1957. Tuanku Abdul Halim telah naik takhta Kerajaan Negeri Kedah pada 14 Julai 1958 berikutan kemangkatan Sultan Badlishah.
Baginda ditabalkan dengan rasminya sebagai Sultan Kedah pada 20 Februari 1959.
PERKAHWINAN
Tuanku Abdul Halim bertemu jodoh dengan Tuanku Hajah Bahiyah Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada 10 Mac 1956 di Istana Sri Menanti, Negeri Sembilan. Tuanku Hajah Bahiyah ialah puteri Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ketika itu (kemudiannya Yang di-Pertuan Agong yang pertama Persekutuan Tanah Melayu).
Baginda dikurniakan tiga puteri, Tunku Puteri Intan Safinaz, Tunku Sarina dan Tunku Intan Shafinaz.
Tuanku Sultanah Bahiyah mangkat di Istana Kuala Chegar, Anak Bukit, Alor Setar, Kedah pada 26 Ogos 2003. Pada 1975, baginda telah mengahwini Tuanku Haminah Hamidun yang kemudian dimasyhurkan sebagai Sultanah Kedah.
KEMANGKATAN TUANKU ABDUL HALIM
Tuanku Abdul Halim diputerakan pada 28 November 1927 dan telah mangkat di Istana Anak Bukit jam 2.30 petang pada 11 September 2017.
Pengumuman kemangkatan dibuat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dengan tujuh hari tempoh berkabung ditetapkan di Kedah, dengan semua keraian, perayaan dan sambutan dibatalkan.
Bendera Kedah di semua bangunan Persekutuan, negeri dan milik awam di negeri ini juga dikibarkan separuh tiang sepanjang tiga hari perkabungan.











