Singgahsana dua dekad - Utusan Malaysia

Singgahsana dua dekad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dua dekad mengabadikan diri sebagai anak seni, sinaran bintang dari Bumi Kenyalang ini tidak pernah malap. Cahaya bakatnya terus bergemerlapan dan meninggalkan tanda pada setiap pertemuan bersama peminat.

Beriring pengalaman yang dikaut daripada usia 18 tahun, Dayang Nurfaizah meletakkan dirinya pada satu aras berbeza,

Benar, dia bukan penyanyi nombor satu negara tetapi kedudukan bintang ini kalau tidak keterlaluan boleh dikatakan, juga berada tinggi megah menjulang awan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Justeru, menerusi konsert Dayang Nurfaizah Dua Dekad di Istana Budaya Ahad lalu, penyanyi ini membuktikan dia adalah diva dalam arena muziknya. Untaian lagu malar segar yang menjadi pilihan Dayang, mengisi kegembiraan dalam hati setiap penonton yang hadir.

Menggunakan ilmu dan kehebatan 20 tahun dalam bidang muzik, Dayang memukau khalayak dengan persembahan yang boleh dikatakan satu lagi sejarah dalam kerjayanya.

Diiringi dengan penataan cahaya dan sistem bunyi yang mengagumkan, keunggulan konsert Dayang kali ini bagaikan mengota janjinya buat peminat. Seperti yang pernah diucapkan Dayang, dia mahukan konsert kali ini diraikan penuh mesra bersama mereka.

Berselang seli dengan nyanyian, Dayang berkongsi segala kenangan sepanjang bergelar penyanyi.

Lari daripada kebiasaan dan sifat lahiriahnya, kali ini Dayang dilihat ramah berkomunikasi dengan penonton sehingga ada ketika dia ‘lepas laku’ dengan lawak jenakanya. Dayang bersembang dengan peminat seperti bersama kawan-kawan lama.

“Lagu Kembalilah Sayang adalah lagu pertama yang saya rakamkan di studio dan orang mula bercakap mengenai saya ketika membuat persembahan di Anugerah Industri Muzik (AIM). Gaya rambut ketika itu memang sangat istimewa dan takkan diulangi lagi ye. Tak akan sesekali diulangi lagi.

“Sama juga seperti trademark `tangan masuk gear’ yang pernah orang perkatakan suatu ketika dahulu. Kasihan saya yang penat berlatih untuk buang trademark tu, tiba-tiba sekarang ada pula yang mahukan balik,” cerita Dayang tertawa.

Dayang Nurfaizah

Apa yang boleh dikatakan, Dayang bertuah kerana kebanyakan lagu yang melonjakkan namanya semula menjadi karya mesra pendengar terutama generasi muda. Lagu-lagu seperti Tak Pernah Menyerah, Separuh Mata Ku Bercinta, Di Pintu Syurga, Lelaki Teragung, Layarlah Kembali dan yang terbaharu Sebentar antara slot yang menyaksikan peminat ikut nyanyi bersama.

Turut mengotakan janji, Dayamg mendendangkan penuh lagu-lagu yang sebelum ini hanya dibawa secara medley.

Misalnya lagu Sedingin Mana Cintamu, Mana Mungkin, Coretan Cinta, Hakikat Cinta dan Pintaku Yang Terakhir yang mengajak peminat mengimbau semula kenangan lagu-lagu lama.

Dayang turut membuat slot istimewa apabila memilih empat lagu tradisional sebagai penghargaan buat biduanita Saloma dan Nona Asiah. Memberikan suntikan groove, Dayang turut mencuri perhatian dengan lenggok tariannya.

Apa yang pasti, menerusi konsert tersebut, Dayang membuktikan dia kekal subur dalam liga tersendiri dan menjadi salah seorang penghibur yang hadirnya sering ditunggu peminat muzik tempatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini