KUALA LUMPUR 24 Julai- Seorang warga Sierra Leone maut selepas diserang lima rakannya di hadapan sebuah hotel bajet di Bandar Puteri Puchong dekat sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa berusia 31 tahun dikatakan rebah sebelum dikejarkan ke sebuah hospital swasta serta disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, siasatan mendapati mangsa telah dibelasah oleh lima warga Sierra Leone menggunakan tangan dan kaki sehingga mengalami kecederaan dalaman.
“Ketika kejadian, mangsa dipercayai bersama rakannya berusia 20 tahun dan siasatan mendapati mangsa mengenali kesemua suspek.
“Dokumen mangsa sedang disemak oleh Jabatan Imigresen. Kita percaya punca disebabkan salah faham serta ejek-mengejek antara mangsa dan suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ismadi berkata, susulan itu, seorang daripada lima suspek telah ditahan di tepi jalan Bukit Puchong dekat bagi membantu siasatan.
Jelasnya, suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini sehingga Selasa depan.
“Kita juga sedang memburu empat lagi suspek dan siasatan lanjut diteruskan berhubung kes ini,” katanya.-UTUSAN ONLINE











