KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini ialah ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ bagi menekankan kepentingan perpaduan serta semangat cintakan negara demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, tema itu diharap dapat memupuk dan menyalakan nilai integriti serta jati diri rakyat Malaysia yang bersih dan tinggi.
“Kerajaan juga telah memutuskan untuk mengekalkan logo rasmi sambutan tahun lepas sebagai logo rasmi sambutan pada tahun ini dengan tambahan tema baharu Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, lagu ‘Malaysia Bersih’ akan menjadi lagu utama sambutan, namun lagu ‘Kita Punya Malaysia’ akan turut dinyanyikan untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme, selain menyemai amalan budaya integriti dan menolak rasuah dalam kehidupan.
Gobind turut mengumumkan acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini diadakan di Putrajaya, manakala sambutan Hari Malaysia di Kuching, Sarawak pada 16 September depan. – Bernama











