WASHINGTON – Unai Emery mengakui dia tidak pasti sama ada kecederaan lutut yang dialami Marco Asensio akan memusnahkan impian Arsenal untuk mendapatkan khidmat Dani Ceballos.
Pemain Sepanyol itu sudah bersetuju untuk menyertai Arsenal secara pinjaman untuk semusim dari Real Madrid.
Ceballos, 22, dijadual menyertai Gunners menjelang aksi persahabatan menentang pasukan lamanya.
Emery sememangnya gembira dengan kehadiran bekas pemain Real Betis yang menyerlah semasa aksi Euro Bawah 21 tahun bersama Sepanyol.
Difahamkan, Asensio mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) semasa beraksi di Washington yang berkesudahan Madrid menang 3-2 menerusi penentuan penalti selepas terikat 2-2 dengan Arsenal.
Arsenal berharap untuk memperkenalkan Ceballos, Khamis ini di London namun kecederaan yang menimpa Asensio berkemungkinan besar bakal mengekalkan pemain itu di Santiago Bernebeu.
“Saya tidak tahu. Pemain sasaran kami tidak mengalami kecederaan tetapi Asensio mengalami kecederaan dan ia merupakan berita buruk buat mereka dan kami.
“Saya tidak pasti sama ada kecederaan itu akan mengubah situasi sekarang ini,” kata Emery.-AGENSI











