KLANG – Seramai 22 orang penagih dadah berjaya ditahan selepas pihak berkuasa menggempur sebuah ‘port’ penagih di bawah jambatan di Jalan Mayang Lagu, Pelabuhan Klang, di sini, semalam.
Serbuan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan itu bermula kira-kira pukul 9 pagi.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, serbuan sempena Ops Sarang itu dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat bahawa kawasan berkenaan kembali aktif dengan aktiviti penagihan dadah awal tahun ini.
Beliau berkata, pihaknya sebelum ini berjaya membersihkan kawasan tersebut selepas beberapa kali diserbu pada tahun lalu.
“Hasil serbuan berjaya menahan 22 orang lelaki berusia 35 hingga 55 dan merampas beberapa paket dadah disyaki heroin dianggar seberat 8.98 gram bernilai RM800.
“Pemeriksaan lanjut mendapati enam suspek dikesan memiliki dadah, 14 adalah penagih dan dua lagi memiliki rekod dikehendaki,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelas beliau, dalam serbuan hampir tiga jam itu, terdapat beberapa orang penagih yang cedera semasa cuba melarikan diri melalui kawasan semak berhampiran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. -K! ONLINE











